81 Penduduk Utara Sarawak Pindah Akibat Banjir

MIRI: Seluruh kawasan rendah di luar bandar utara Sarawak terutama di sepanjang Sungai Baram dan Sungai Limbang mula dilanda banjir apabila 81 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan banjir sehingga jam 3 petang ini.

Kawasan banjir yang agak serius ialah di Nanga Mendamit, daerah Limbang yang bersempadan dengan Brunei, yang mana semua mangsa yang dipindahkan adalah dari kawasan itu.

Mereka adalah 24 keluarga majoritinya penduduk rumah panjang yang tinggal sepanjang Sungai Limbang.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, jika hujan berterusan lebih banyak mangsa banjir akan dipindahkan ke pusat pemindahan.

"Sekarang 81 penduduk dari 24 keluarga. Namun angka ini kemungkinan akan bertambah jika hujan berterusan," katanya hari ini.

Beliau berkata, keadaan banjir masih terkawal tetapi semua pihak sudah diminta mengambil langkah waspada sekiranya hujan berterusan.

"Di Long Panai dan Long Bemang walau pun banjir, namun situasi masih terkawal," katanya.

Katanya, anggota jabatan itu sudah dikerah mengambil langkah perlu jika banjir berterusan di utara Sarawak, akibat cuaca buruk sekarang.

Katanya, di Miri beberapa kawasan penempatan penduduk di Bekenu dan Sibuti mula dinaiki air akibat hujan lebat malam tadi.-BH

Comments