3 Suspek Bunuh Dicekup Polis Di Sarikei

SARIKEI: Tiga lelaki berusia 28, 37 dan 34 tahun ditahan polis semalam kerana dipercayai terlibat dengan kes kematian seorang duda, Jampong Jon, 52, dari Rumah Rasit, Sungai Sentebu di sini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata,pada 18 Mac lalu polis Sarikei telah dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki yang reput di sebuah ladang sawit di Ulu Sungai Enseluai, dekat sini.

“Mayat tersebut dijumpai oleh seorang pengurus ladang pada jam sekitar 9.30 pagi. Berikutan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Sarikei bergegas ke lokasi dan mendapati mayat seorang lelaki yang dipercayai mati beberapa hari sebelumnya tertelungkup di dalam semak.

“Punca sebenar kematian mangsa tidak dapat dipastikan pada masa itu. Bagaimanapun, kaki kirinya telah hilang dan tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada badan.

“Keesokannya, mayat itu dikenal pasti secara positif oleh keluarganya sebagai Jampong Jon yang bekerja sebagai buruh sambilan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Hasil bedah siasat , katanya, beberapa kesan tikaman yang ditemui pada badan mangsa dipercayai punca kepada kematiannya.

Justeru, kata Dev, kes ini disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.“Pada 23 Mac (semalam),  pasukan D9 yang diketuai oleh ASP Taruna Madian menangkap seorang lelaki dari sebuah rumah panjang di Sungai Entebu Sari, Sarikei yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian mangsa.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, lelaki terbabit yang berusia 28 tahun dan juga seorang buruh mengaku telah membunuh mangsa.

“Menurut suspek, kejadian itu berlaku selepas sesi minum pada 15 Mac lalu ketika suspek dan mangsa bergaduh dan menyebabkan suspek menikam mangsa beberapa kali dan kemudian mengheret mangsa dan menyembunyikannya di dalam semak.

“Pada masa sama, dua suspek lain turut ditahan bagi membantu siasatan. Ketiga-tiga suspek tersebut telah ditahan reman bagi membantu siasatan,” kata Dev sambil menambah, pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa turut ditemui di rumah suspek pada kira-kira jam 6 petang semalam. -UB

Comments