41 Orang Ditahan Kerana Terlibat Perjudian Haram

KUCHING: Seramai 41 individu ditahan kerana dipercayai terlibat aktiviti perjudian haram dalam 26 serbuan yangdijalankan di seluruh Sarawak sepanjang tempoh 13 hingga 19 Mac lalu.

Dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak bersama JSJ peringkat daerah itu, sebanyak 22 daripada 26 serbuan adalah berkaitan penjualan nombor ekor haram (4D).

JSJ Sarawak menjalankan 14 serbuan, JSJ Kuching, Sibu dan Padawan membuat dua serbuan manakala JSJ Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Saratok dan Marudi masing-masing satu serbuan.

Ketua JSJ Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, kegiatan menjual nombor loteri secara haram di Sarawak terus meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan, khususnya di Kuching.

“Sebanyak 22 serbuan 4D haram itu menjurus kepada tangkapan 26 individu dan rampasan wang tunai berjumlah RM6,633,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dev berkata, polis turut merampas beberapa buah telefon bimbit, mesin cetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis.Menurutnya, kebanyakan serbuan di Kuching dijalankan di pusat komersil Kenyalang hasil aduan awam.

“Semasa salah satu serbuan 4D haram dijalankan di sebuah medan selera di Kenyalang, polis turut terserempak dengan lapan lelaki yang terlibat secara aktif dengan pertaruhan (lumba kuda) haram.

“Mereka kemudiannya ditangkap, manakala jadual-jadual lumba kuda, telefon bimbit dan slip pertaruhan dirampas,” katanya.

Selain 4D haram, katanya, serbuan berkaitan judi siber turut dijalankan di Bau dan Marudi yang membawa kepada penangkapan dua individu serta rampasan 34 komputer serta tablet.

Daripada 41 individu berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 70 tahun yang ditangkap, seramai 25 daripadanyaadalah lelaki manakala selebihnya wanita.

Sebanyak 12 serbuan itu dijalankan di tempat-tempat awam, terutama kaki limamanakala lapan lagi dibuat di rumah kedai, empat di kedai runcit dan dua di kedai kopi.

“JSJ Negeri akan terus menjalankan serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian haram di bandar raya serta bahagian lain di negeri.“Kita menghargai sumbangan orang awam yang terus menyalurkan maklumat kepada kita mengenai aktiviti perjudian serta menyokong usaha-usahakita,” katanya sambil menambah, kesemua yang ditangkap akan disiasat dibawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953. -UB

Comments