KUCHING: Beberapa pemimpin politik serta aktivis masyarakat mulai meluahkan kebimbangan berkenaan gejala penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing dengan harapan tindakan tegas dapat diambil pihak berkuasa.
Terbaharu, bekas calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak Abdul Jalil Bujang turut menyatakan kebimbangannya berkaitan gejala tersebut.
Menurutnya, di bandar Bintulu kegiatan jual beli dadah berlaku di kali lima, begitu juga dikawasan taman perumahan terutama sekali kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) begitu mudah diperolehi.
“Di pinggir bandar juga tidak kurang hebatnya, para remaja mudah dapat bekalan.
“Ibu bapa risau dengan keadaan, risau anak-anak mereka boleh terjebak,” luahnya menerusi akaun Facebook Abdul Jalil.
Beliau berkata, terdapat laporan mengatakan ada pegawai-pegawai yang terlibat sama, menjadikan perkara itu susah untuk dibanteras.
“Adakah negeri Sarawak sudah lumpuh oleh serangan wabah Dadah...
“Di Bintulu... Kerisauan penduduk setempat ada justifikasinya,” katanya
Terdahulu, aktivis masyarakat yang juga bekas calon PKR Saribas, Abang Zulkifli Abang Engkeh meluahkan kerisauannya berkenaan masalah penyalahgunaan dadah, bahan inhalan dan minum arak di kalangan remaja muslim di Debak semakin membimbangkan.
Menurutnya, setiap kali balik ke Debak, beliau sering mendengar rungutan mengenai masalah remaja mabuk, menghidu gam dan dadah serta kes kecurian termasuk pecah rumah.
“Dari pemerhatian saya, tiada pihak yang cuba mengawal masalah ini bahkan pengedar dan penjual seakan-akan dilindungi oleh pihak tertentu,” katanya.
Justerus beliau berharap tindakan bersepadu dan menyeluruh harus dirancang bersama antara PDRM, Majlis Daerah, ketua masyarakat, penghulu, pemanca, temenggung, imam,Rela, Saberkas dan Jabatan Kesihatan supaya impaknya lebih berkesan dan menyeluruh. - Sarawakiana
Comments
Post a Comment