Bah: Air Batang Rajang melimpah ke kawasan-kawasan rendah sekitar Sibu

SIBU: Limpahan air Batang Rajang serta hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air setinggi satu kaki.

Paras air mulai naik sekitar jam 8 pagi tadi ekoran kejadian air pasang besar.

Keadaan tersebut bagaimanapun tidak mencetuskan suasana panik di kalangan penduduk di sini.

Ini kerana insiden kawasan rendah dinaiki air seperti sudah kebiasaan walaupun hujan berlaku hanya sementara.

Laluan utama menuju pusat bandar termasuk Jalan Lanang dan Jalan Khoo Peng Long masih boleh dilalui oleh kenderaan.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) keadaan banjir di Sibu masih terkawal dan tiada sebarang operasi pemindahan dilakukan.

Orang ramai bagaimanapun diingatkan sentiasa berada dalam keadaan sedia kerana bimbang kejadian banjir bertambah buruk.

Dalam pada itu operasi perniagaan di beberapa buah kedai di sepanjang kedua-dua laluan terbabit bagaimanapun terpaksa ditutup.

Keadaan itu dijangka pulih seperti biasa dalam sedikit masa lagi bergantung dengan keadaan cuaca.

Gambar-gambar menunjukkan suasana sekitar bandar Sibu pada pagi semalam. -UB

   

Comments