Buaya Ditangkap Di Bakong Bukan Yang Menyerang Adik Agnes


MARUDI: Operasi memburu buaya ganas di Sungai Tapang Peking di Bakong dilakukan bersama pasukan polis dan kakitangan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya menangkap seekor buaya, berukuran 3.5 meter ketika ia sedang makan umpan.

Buaya tersebut ditembak pegawai JHS ketika sedang melahap umpannya pada jam 3 petang kelmarin.

Bangkai buaya kemudian dibawa ke pangkalan Rumah Jampang Kantan dan hasil penelitian dibuat JHS, mendapati buaya jantan itu bukan buaya menyerang mangsa, Agnes Luang.

Agnes, 18, merupakan calon menunggu keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi, maut dibaham buaya ketika bersama ibunya selepas mandi di Sungai Tapang, Peking pada jam 5.15 petang, 21 Februari lepas. 

Sehubungan itu, operasi diterus semula untuk mengesan dua lagi umpan buaya dipasang di sungai berkenaan dan sehingga jam 5 petang kelmarin, operasi memburu itu gagal menjejaki buaya ganas tersebut dan atas faktor cuaca buruk, operasi disambung semula bermula jam 9 pagi semalam.

Usaha memburu buaya ganas itu juga atas permintaan penduduk rumah panjang yang mahu mencari dan mengesan buaya makan umpan hilang dipasang di sepanjang sungai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (KPD) Baram, DSP Gabriel Risut memberitahu operasi telah bermula pagi 7 Mac dari jam 2 petang dan pasukan operasi memburu buaya ganas itu telah dibahagi kepada dua kumpulan, yang telah bergerak dari hulu sungai menghala ke hilir Sungai Peking.

Pasukan polis Balai Polis Marudi diketuai ASP Goldy Jangan serta Sarjan Wahid Abdullah, turut disertai oleh pegawai dan kakitangan JHS serta penduduk kampung.

Sepanjang rondaan sehingga petang kelmarin, pihak yang menyertai operasi memburu mendapati  tiga daripada sembilan umpan dipasang telah hilang, dipercayai dimakan oleh reptilia ganas tersebut. -UB

Comments