Buaya Timbul Selepas Sibu Dilanda Banjir



SIBU: Selepas dilanda banjir sering kali kita mendengar penduduk rumah panjang mendapat rezeki hasil sungai, namun lain terjadi kepada penduduk Rumah Grace Itun, Jalan Salim-Stabau kelmarin. Mereka ternampak seekor buaya dianggarkan sepanjang lebih daripada empat kaki timbul di Sungai Salim.

Menurut penduduk rumah panjang itu, Maxwell Layong, penemuan buaya itu sekitar jam 3.30 petang.

“Masa itu, saya bersama beberapa penduduk lain balik dari bandar dan tiba-tiba salah seorang mereka terlihat satu lembaga timbul di sungai.

“Beliau memberitahu kami lalu saya memberhentikan kenderaan di tepi sungai dan terkejut apabila mendapati seekor buaya timbul,” katanya di sini semalam.

Maxwell berkata selepas penemuan itu, salah seorang mereka bergegas ke rumah panjang tidak jauh dari lokasi penemuan itu untuk memaklumkan perkara tersebut.

“Selepas dimaklumkan, penduduk terus bergegas ke lokasi penemuan untuk menyaksikan kehadiran buaya terbabit.

“Namun, apa yang peliknya buaya itu tetap tidak berganjak dan terus timbul seolah-olah menayangkan diri kepada umum,” jelasnya.

Dengan peluang itu, penduduk rumah panjang sempat merakam gambar dan video buaya tersebut melalui telefon bimbit.

Katanya, selepas beberapa ketika kira-kira lebih lima minit menunjukkan dirinya kepada umum buaya itu mula beredar dengan tenggelam ke dasar sungai.

“Tempat buaya itu adalah salah sebuah lubuk terdapat sepanjang Sungai Salim. Kehadiran buaya itu amat menakutkan semua kerana Sungai Salim masih digunakan sesetengah kami untuk aktiviti tertentu,” jelasnya.

Jelas Maxwell, inilah kali pertama mereka melihat buaya yang sempat menayangkan kelibatnya sehingga membolehkan penduduk berkesempatan menyaksikan kehadiran buaya itu.

Sebelum ini, terdengar cerita beberapa penduduk rumah panjang melihat kelibat buaya, namun tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Apa yang pasti, penduduk Nanga Salim di muara Sungai Salim sering melihat kehadiran buaya timbul di sungai itu.

“Kehadiran buaya ini membimbangkan walaupun kami tidak mandi di sungai. Namun kami bimbang kerana budak-budak suka mandi di sungai atau bermain air di tebing.

“Selain itu, ada juga penduduk memancing serta memasang pukat dan bubu di sungai tersebut.

“Selepas melihat kelibat buaya itu kami terus melarang budak-budak bermain di sungai dan begitu juga mereka yang gemar menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Apa yang kami lihat adalah pengajaran kepada budak-budak rumah panjang dan mereka yang gemar menjalankan aktiviti mencari ikan,” jelasnya.

Sementara itu, Maxwell berkata Sungai Salim berpotensi dihuni beberapa ekor buaya mendiami beberapa lubuknya kerana sungai tersebut tenang dan tidak digunakan pengangkutan utama disebabkan sudah mempunyai jalan raya sejak berdekad lalu.

“Kami percaya Sungai Salim mempunyai buaya. Banjir berlaku amat memudahkan buaya masuk dari Sungai Rajang ke Sungai Salim.

“Saya rasa ada beberapa ekor buaya menjadikan Sungai Salim sebagai tempat pembiakan,” katanya.

Beliau turut memohon kepada pihak berkuasa berkaitan membantu menangkap buaya di sungai tersebut yang menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.

“Kami harap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan selanjutnya. Kami tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku disebabkan kehadiran buaya terbabit.

“Kami percaya, ada beberapa ekor buaya turut mendiami beberapa lubuk di Sungai Salim yang dianggap sebagai ancaman kepada kami,” katanya.-UB

Comments