KUCHING: Seorang wanita nekad meminum racun rumpai selepas ditegur dan dinasihatkan oleh suaminya untuk berhenti membuang masa berhubung dengan rakan-rakannya menerusi aplikasi WeChat kelmarin.
Insiden itu dikatakan berlaku sekitar jam 10.30 malam apabila wanita berusia 37 tahun itu, yang berasal dari Kampung Kumbai di Batu 23 Jalan Kuching-Serian, merajuk selepas ditegur oleh suaminya.
Menurut sumber, mangsa dikatakan meluru keluar dari rumah dan terus meminum racun rumpai sebelum dihalang oleh suaminya, yang kemudian memanggil ambulans untuk membawanya ke hospital.
“Suaminya sebelum ini sering memberi nasihat, namun tidak dipeduli sehingga dia (suami) terpaksa memarahinya menyebabkan dia (mangsa) semakin tidak puas hati lalu bertindak meminum racun,” kata sumber.
Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan, dan dikatakan stabil ekoran insiden tersebut.
Dalam satu insiden berasingan, seorang lelaki dari Lundu dimasukkan ke hospital di sini selepas dia mengalami kelecuran serius apabila letupan berlaku di rumahnya awal semalam.
Mangsa berusia 34 tahun dari Kampung Seketi itu dikatakan cedera teruk selepas bekas minyak ‘thinner’ meletup di sebelahnya ketika dia berada di luar rumahnya sekitar jam 1 pagi.
Dia pada mulanya dibawa oleh keluarganya ke Hospital Daerah Lundu, yang kemudian membawanya ke HUS di sini di mana dia ditempatkan dalam Zon Merah untuk rawatan lanjut. -UB
Comments
Post a Comment