Guru Ditahan Polis Kerana Sorok Dadah Di Lawas

LAWAS: Meskipun pernah ditahan atas kesalahan sama dalam tempoh seminggu, seorang guru tidak pernah serik selepas tindakannya menyorok dadah dipercayai syabu berjaya dihidu polis dalam satu serbuan di sebuah kawasan perkuburan di Sundar, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek, 37, tidak turun mengajar sejak setahun lalu ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 3.4 gram dalam serbuan sekitar jam 4.30 petang.

Jelasnya, hasil pemeriksaaan polis menemui empat keratan straw berwarna merah jambu, satu keratan straw berwarna hijau muda dan satu keratan straw berwarna merah masing-masing mengandungi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu disorok dalam kotak rokok disimpan dalam seluar suspek.

“Ini merupakan tangkapan kedua dilakukan terhadap suspek dalam tempoh seminggu,” katanya kepada media semalam.

Bagaimanapun, guru terbabit negatif dadah hasil ujian saringan awal dilakukan polis terhadapnya.

Selain guru terbabit, seorang wanita dan empat lagi lelaki kebanyakannya penganggur ditahan di kawasan sama dan kawasan berasingan pada operasi tersebut di Sundar.

Suspek wanita berusia 22 dan semua suspek lelaki berasal dari Sundar berusia sekitar 26, 31, dan 32 ditahan dan mereka semua positif Amphethamine.

“Kita juga merampas dadah seberat 1.1 gram daripada suspek lelaki terbabit,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.-UB

Comments