Kakak Lapor Polis Adik Cetak Wang Palsu

KUCHING: Seorang kakak terpaksa membuat laporan polis terhadap adik lelakinya yang disyaki terlibat aktiviti mencetak wang palsu di rumah mereka di Jalan Kulas Barat di sini, kelmarin.

Bertindak atas laporan tersebut, satu serbuan dilakukan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan danmenahan suspek berusia 16 tahun pada hari sama.

Susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki berusia 34 tahun ditahan dan kira-kira 22 keping wang kertas RM100 palsu turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu kedua-dua suspek direman beberapa hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

“Kegiatan ini terbongkar selepas kakak suspek menemui peralatan dipercayai membuat wang palsu di dalam biliknya dan hasil maklumat tersebut kita menahan suspek yang ketika itu turut membawa beberapa keping wang RM100palsu.

“Hasil siasatan awal suspek membawa kepada penahanan seorang lagi suspek pada hari sama,” kata Aidil ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, antara yang ditemui di bilik tidur suspek ialah kertas tertera cetakan wang RM100, mesin pencetak, mesin pengimbas dan keranjang aluminium.Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 489C dan 489D kanun keseksaan kerana mencetak dan memiliki mesin pencetak wang palsu.

Difahamkan, kes membabitkan wang kertas RM100 palsu bukan sahaja dilaporkan di Kuching, tetapi juga di beberapa bandar dan daerah lain di sekitar negeri sejak beberapa tahun lepas.

Antara sasaran mangsa ialah peniaga di gerai-gerai, penjual makanan, pengusahakedai makan dan pengusaha stesen minyak.

“Kita akan membanteras kegiatan ini dan sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut diminta tampil menyalurkan kepada kita agar tindakan dapat diambil dengan segera,” kata Aidil. -Utusan Borneo Online

Comments