Kedai makan Di BDC Kuching Ditutup 14 Hari Gara-Gara Najis Tikus


BUKTI: Dua pegawai dari Bahagian Kesihatan Persekitaran JKNS mengumpul bahan bukti iaitu najis tikus di salah satu gerai di kedai makan di BDC.

KUCHING: Sebuah kedai makan di BDC di sini diarah tutup selama 14 hari bermula hari ini selepas pemeriksaan mendapati terdapat najis tikus di dapur salah sebuah gerai yang beroperasi di situ.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengeluarkan arahan itu selepas tiga pegawainya diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Eddie melakukan pemeriksaan di gerai itu petang semalam.

Turut membantu beberapa pegawai dari Unit Kawalan Kualiti dan Kesihatan Makanan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) diketuai ketuanya, Lim Kaa Kuan.

Hadir sama semasa pemeriksaan itu, Pegawai Tadbir Khas (Kesihatan Awam) Kementerian Kerajaan Tempatan Dr Cheong Yaw Liang.

Menurut Eddie, bertindak atas laporan diterima berikutan tular dalam Facebook mengatakan beberapa tikus kelihatan sedang makan bihun yang digunakan di salah sebuah gerai di kedai makan tersebut.

Tular itu tersebar kelmarin dan JKNS menerima laporan itu sekitar jam 10 pagi semalam, tambahnya.

“JKNS dan MBKS terus bertindak berdasarkan laporan ini walaupun ia ditular melalui FB, kami memandang serius perkara ini.

“Pemeriksaan JKNS mendapati memang terdapat najis tikus di lantai gerai berkenaan. Ekoran itu, notis penutupan premis ini serta-merta di bawah Perintah Penutupan Premis Makanan Yang Tak Suci di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada pemberita.

Di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, KKM premis makanan yang didapati tidak bersih dan disucikan keadaannya sehingga mungkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang ramai akan diperintah tutup selama tempoh 14 hari. -UB

Di bawah seksyen itu juga, pemilik premis dikehendaki membaiki kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti supaya premis berkenaan berada dalam keadaan bersih dan suci yang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Kegagalan mematuhi perintah itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah seksyen sama.

Comments