Langgi Puas Jayakan Watak Kanang Anak Langkau

KUCHING: Anak bongsu Pahlawan Negara, mendiang Datuk Kanang Langkau, Kopral Langgi puas apabila berjaya membawakan watak bapanya, meskipun beliau belum pernah beraksi di hadapan kamera.

Kopral Langgi Kanang, 35, berkata beliau bangga dengan perjuangan Kanang yang ketika hayatnya dianugerahkan dua pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) dan lebih membanggakan apabila perjuangan bapanya itu difilemkan.

Langgi yang mengikut jejak Kanang menceburi bidang ketenteraan dipilih untuk memegang watak bapanya itu dalam filem 'Kanang anak Langkau : The Iban Warrior' yang mula ditayangkan di seluruh negara, hari ini.

Langgi berkata, beliau tidak menduga pertemuannya dengan pengarah filem, Bade Azmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kira-kira tiga tahun lalu membawa beliau ke dunia lakonan.

"Saya bertemu dengan pengarah (Bade) secara tidak sengaja, ketika saya menghantar ikan terubuk masin kepada salah seorang kenalan iaitu kru produksi filem yang menunggu di LTAK. Pada pertemuan pertama itu, Bade sanggup menunda penerbangannya hanya kerana mahu membincangkan tawarannya kepada saya untuk melakonkan watak bapa yang ketika bertempur mengalami kecederaan parah.

"Puas saya memikirkan tawaran itu dan saya memang tidak yakin mampu melakukannya kerana yang saya tahu hanya meredah hutan serta melakukan tugas-tugas ketenteraan," katanya yang ketika ini bertugas di 3 Rejimen Artileri Diraja (RAD) di Kem Penrissen, di sini.

Bagaimanapun katanya, selepas bersetuju menerima tawaran itu, beliau diberi pendedahan mengenai cara lakonan daripada kru produksi serta tunjuk ajar daripada beberapa pelakon ternama.

"Saya memang tidak menyangka akan berlakon dengan nama besar seperti Adi Putra dan Johan Ashari.  Rupa-rupanya berlakon adalah sukar dan ketika penggambaran babak bapa saya cedera parah ditembak musuh, kami terpaksa berulang kali melakukannya sehingga penggambaran mengambil masa sehari suntuk.

"Itu pengalaman paling berharga bagi saya, namun saya tidak sanggup lagi berlakon selepas ini. Cukuplah saya melakonkan watak bapa sendiri untuk filem 'Kanang anak Langkau: The Iban Warrior' ini kerana filem ini adalah penghargaan terhadap pengorbanan bapa untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Menceritakan pengalaman melakonkan watak Kanang yang mengalami kecederaan parah dengan usus terburai selepas terkena tembakan pengganas komunis, Langgi berkata, beliau tidak dapat tidur lena selepas selesai menjalani penggambaran watak itu. "Saya tidak dapat melupakan keadaan usus terburai seperti yang bapa alami dan saya termimpi-mimpi keadaan ngeri itu selepas penggambaran selesai.

Memang ngeri dan dapat saya bayangkan, bapa pasti mengalami keadaan lebih sukar ketika kejadian itu," katanya. Penggambaran 'Kanang anak Langkau: The Iban Warrior' dibuat di sekitar ladang Alagar di Taiping, Perak dan Kampung Budaya di Santubong, Sarawak turut mendapat bantuan anggota Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) yang berpangkalan di Ipoh, Perak; Batalion Ke-9 RRD di Taiping dan Batalion Ke-10 RRD di Kem Muara Tuang, Samarahan, Sarawak.

Selaku watak utama filem itu, Langgi mengajak orang ramai untuk menonton filem sejarah yang padat dengan aksi menarik itu. "Datanglah ke pawagam, saksikan lakonan saya yang pertama dan mungkin yang terakhir kerana jiwa saya bukan pada bidang ini.

Saya menjayakan watak ini sebagai menghargai perjuangan mendiang bapa saya yang mempertaruhkan nyawanya di medan peperangan. Filem ini memaparkan semangat patriotik pahlawan negara dan saksikanlah sendiri sebuah kisah benar yang dilalui seorang pahlawan bernama Kanang Langkau ini," katanya. BH

Comments