Lelaki Dicekup Polis Kerana Terompak Orang Kampung Sendiri


TUMPAS: Suspek semasa ditangkap polis semalam.

KUCHING: Seorang lelaki ditangkap polis selepas dikatakan ‘terompak’ orang kampung sendiri di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini kelmarin.

Menurut sumber, suspek, 28, berasal dari Kampung Gersik semasa kejadian dipercayai mabuk bersama tiga rakan subahatnya bertindak menahan sebuah motosikal yang dinaiki sepasang kekasih sekitar jam 9 malam.

Difahamkan, empat suspek yang bersenjatakan parang itu kemudian mengarah pasangan terbabit menyerahkan barang berharga kepada mereka sambil mengacukan parang ke arah mangsa (lelaki).

“Suspek terus bertindak agresif apabila turut mengacukan parang ke arah mangsa (lelaki) menyebabkan dia dan teman wanitanya yang ketakutan menuruti permintaan mereka.

“Seorang daripada suspek kemudian mengarah pasangan terbabit turun dari motosikal mereka sebelum beredar dari tempat kejadian dan turut melarikan motosikal tersebut.

“Mangsa (wanita) bagaimanapun dapat mengecam seorang daripada suspek yang sekampung dengannya,” kata sumber yang memberitahu dua lagi suspek melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan.

Difahamkan, selain motosikal, suspek turut berjaya melarikan wang tunai serta dokumen peribadi milik kedua-dua mangsa.

Laporan berhubung kejadian telah dibuat oleh pasangan terbabit di balai polis berhampiran selepas insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya telah menahan seorang daripada suspek yang dikenali mangsa.

“Mangsa (wanita) dapat mengecam muka seorang suspek yang sekampung dengannya iaitu di Kampung Gersik.

“Bertindak atas maklumat itu, pada jam 10.45 pagi tadi (semalam), sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas suspek dan siasatan awal suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama tiga rakannya yang masih bebas,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seskyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. -UB

Comments