Lelaki Tikam Teman Wanita Sehingga Mati Direman 7 Hari

KUCHING: Jurujual aksesori kereta yang didakwa menikam teman wanitanya sehingga mati kerana mangsa tidak mahu melakukan hubungan seks dengannya telah direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 25 tahun kini dalam lokap polis selepas dia dibenarkan keluar dari Hospital Umum Sarawak (HUS), di mana suspek menerima rawatan bagi luka yang dilakukannya ke atas diri sendiri ekoran insiden Jumaat lepas.

“Kami sudah mendapatkan tempoh reman tujuh hari terhadap suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Tempoh reman itu akan tamat pada 1 April, dan dia sekarang ditahan di lokap Siburan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Suspek didakwa membunuh teman wanitanya berusia 25 tahun, Sindam Atom, dalam bilik sewa mangsa di sebuah pusat komersil di Batu 4 sekitar jam 3.45 pagi.

Dia mengaku kepada polis yang dia menikam pembantu kedai kasut itu dua kali di bahagian leher dengan pisau selepas mangsa menolak permintaannya untuk mengadakan hubungan seks, yang menimbulkan kemarahan suspek yang menyangka mangsa curang dengan lelaki lain.

Selepas kejadian tersebut, suspek dipercayai cuba membunuh diri dengan pisaunya tetapi berubah hati, dan seterusnya mendapatkan bantuan dari sebuah kedai 24 jam berdekatan di mana dia dikatakan memberitahu pekerja di sana dia telah diserang.

Sementara itu, Aidil memberitahu bedah siasat yang dijalankan semalam di HUS ke atas mayat Sindam mendapati punca kematian adalah kecederaan pada arteri karotid kiri disebabkan oleh luka tikaman.

Selepas bedah siasat selesai, mayatnya dituntut oleh ibu bapanya yang tiba di sini dari Bintangor malam kelmarin selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Bapanya, yang bercakap seketika kepada pemberita, berkata keluarganya kali terakhir berjumpa dengan Sindam, anak bongsu tiga adik- beradik itu, ketika dia pulang ke kampung untuk cuti selama lima hari minggu lepas.

“Itulah kali terakhir kami mendengar daripadanya. Dia tidak menghubungi kami setelah dia kembali ke sini,” katanya, dan menambah keluarganya mengenali suspek kerana suspek berasal dari kampung yang sama dan mempunyai kaitan jauh dengan keluarganya.-UB

Comments