Nelayan bertuah dapat pari gergasi 160kg di Mukah, dijual dengan harga RM1,500

MUKAH : Seorang nelayan meraih RM1,500 apabila pari “gergasi” seberat 160kg tersangkut di pukat yang dipasangnya di muara Sungai Mukah kelmarin.

Oleh kerana saiznya terlalu besar, Selamat Dadu, 55, terpaksa mengikat hidung haiwan itu sebelum menundanya ke jeti pasar Mukah, lapor Harian Metro.

“Saya terkejut apabila mendapati pari besar tersangkut pada pukat saya. Saya cuba menarik masuk ke dalam perahu tetapi saiznya terlalu besar.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa mengikat hidung haiwan itu sebelum menundanya ke jeti pasar menggunakan perahu dengan enjin 60 kuasa kuda sahaja,” katanya.

Selamat terpaksa dibantu beberapa nelayan untuk mengangkat ikan pari seberat itu, pengalaman pertamanya sejak 30 tahun lalu.

Lazimnya dapat menangkap ikan-ikan perang, lumek dan tenggiri, beliau memperolehi RM1,500 hasil jualan potongan ikan itu RM10 sekilogram.

Hasil tangkapan mengejutkan itu akan digunakan untuk menyediakan bekalan dan perkakasan untuk turun ke laut, katanya. - ProjekMMO

Comments