Pelajar Cemerlang SPM Sibu Kongsi Rahsia Kejayaan


KONGSI KEGEMBIRAAN: Erica (kiri) dan Joyce teruja meraikan kejayaan keputusan cemerlang dalam SPM 2016.

SIBU: Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, Erica Ling Kai Shi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Elizabeth yang memperolehi 11A+ menyifatkan keputusan itu di luar jangkaan.

Ketika ditemui pemberita semalam, Erica ditemani ibunya mengambil keputusan berkata, pada awalnya beliau hanya meletakkan sasaran 9A+ kerana enggan meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Sebelum menduduki peperiksaan, saya sentiasa berdoa kepada Tuhan semoga dapat menjawab soalan dengan tenang,” katanya yang mendapat keputusan 9A+ pada peperiksaan percubaan.

Berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal, Erica berkata, beliau sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain.

“Saya kurang gemar belajar dengan menghafal. Lebih suka konsep memahami. Ini menyebabkan saya gemar dengan mata pelajaran Fizik dan Matematik kerana saya perlu memahami untuk memudahkan saya menjawab soalan.

“Ibu bapa, guru dan rakan banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya tidak mungkin mencapai kejayaan ini,” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju selepas mendapat keputusan SPM, Erica berkata, beliau akan menyambung pengajian di Tingkatan Enam sebelum menunggu surat tawaran universiti.

Erica memperolehi keputusan 11A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Prinsip Perakaunan, Fizik, Kimia, Biologi dan Bahasa Cina.

Ibu Erica, Hu Eng Eng yang bertugas sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Su Lai berkata, kejayaan anak perempuannya atas usaha rakan sekelas, guru-guru dan berkat doa kepada Tuhan.

“Rakan sekelasnya telah menunjukkan semangat pasukan terbaik. Mereka sentiasa membantu antara satu sama lain. Ini yang menguatkan lagi hubungan persahabatan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Joyce Hu Xin Enn mendapat keputusan 10A+ memberitahu, beliau gemar membuat nota tulisan tangan berbanding nota grafik yang mudah didapati di pasaran.

“Selain memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar, saya lebih gemar membuat nota. Ini memudahkan saya untuk memahami,” jelasnya meminati mata pelajaran Biologi.

Joyce berkata, beliau akan menyambung pengajian ke Tingkatan Enam dan akan memohon untuk biasiswa melanjutkan pengajian di universiti.

SMK St Elizabeth mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik 2.73 berbanding sasaran awal sekolah 2.80, selain diumumkan tempat keenam terbaik antara seluruh sekolah-sekolah terpilih di Sarawak.-UB

Comments