KOTA SAMARAHAN: Demi mengurangkan risiko serangan buaya, seorang penduduk Kampung Endap mengambil inisiatif sendiri untuk menangkap reptilia itu.
Menurut adik penduduk tersebut, dia bersama abangnya dan seorang lagi rakan mereka cuba menangkap reptilia itu menggunakan umpan ayam.
“Kami baharu sahaja memulakan usaha menangkap buaya ini Sabtu lalu dengan menggunakan umpan ayam yang diikat pada mata kail khas.
“Pada keesokan harinya (Ahad) sekitar jam 9 pagi, kami memeriksa mata kail dan mendapati buaya sepanjang lebih 12 kaki makan umpan yang kami pasang,” katanya ketika ditemui di Kampung Endap di sini semalam.
Malah, dia memberitahu dianggarkan buaya yang berjaya ditangkap itu mempunyai berat lebih 70 kilogram.
Bagaimanapun, buaya berkenaan dibunuh sebelum diserahkan kepada seorang individu lain.
Sementara itu, menurut seorang penduduk berusia 43 tahun yang enggan disiarkan namanya, dia tidak lagi berani turun ke sungai di kampung berkenaan.
“Sejak populasi buaya di sungai di kampung ini bertambah dan bimbang diserang, saya tidak lagi turun menjala.
“Kelibat buaya boleh dilihat setiap hari dan ketika air sungai pasang, buaya-buaya ini bersama anak-anaknya pasti timbul,” dedahnya.
Justeru, dia menyambut baik usaha penduduk kampung menangkap reptilia itu bagi mengurangkan ancaman serangan buaya di situ. -UB
Comments
Post a Comment