LIMBANG: Tiga individu sanggup memandu selama 11 jam menggunakan jalan balak dari Miri hingga ke Limbang membawa masuk sebanyak 6,770 karton rokok seludup bernilai RM350,000 ke bandar ini sebelum digagalkan polis dalam satu pemeriksaandi Batu Lapan, Jalan Kubong dekat sini petang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang DSP Tega Bilong berkata dalam kejadian jam 2.30 petang itu, pihaknya turut merampas dua kenderaan pikap berwarna putih bernilai lebih RM100,000yang digunakan suspek mengangkut rokok terbabit.
Menurutnya, bertindak atas maklumat orang awam sepasukan polis diketuai beliau sendiri menahan dua pikap terbabit.
“Ketika ditahan, dua suspek juga pemandu dan seorang penumpang masing-masing dari Miri, Sibu dan Marudi berusia 40-an berada di dalam pikap terbabit bersama rokok.
“Mereka cuba melarikan diri namun gagal dan polis berjaya menahan dan merampas rokok serta pikap terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Limbang kelmarin," katanya pada sidang media di sini semalam.
Hadir sama Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah Limbang ASP Khairul Ridzuan Ahmad dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Limbang Inspektor Samsil Akai.
Tega berkata, keseluruhan rampasan membabitkan rokok dan dua pikap terbabit bernilai RM565,000. Menurutnya, jalan balak sunyi dari Miri, Long Lama, Long Seridang sehingga Long Balau dan Long Napor agak jauh dari penempatan penduduk menjadikannya pilihan penyeludup.
“Kita percaya kumpulan ini aktif menjalankan aktiviti tersebut sejak sekian lama sebelum modus operandi mereka dihidu polis kelmarin," katanya.
Semua suspek dipercayai bekerja di kem pembalakan, membawa bekalan rokok dari Miri untuk pelanggan di Limbang serta pelanggan dari negara jiran.
Kes tersebut diserahkan kepada JabatanKastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. -Utusan Borneo Online
Comments
Post a Comment