SIBU: Seorang remaja lelaki hilang dikhuatiri lemas di Sungai Rajang selepas perahu dinaiki bersama seorang rakan mengalami kerosakan sebelum terperosok dan karam di bawah sebuah kapal tongkang di sini, malam kelmarin.
Insiden berlaku berhampiran jeti Pasar Baru Kapit ketika mangsa, Maxmecluess Kalat Tommy, 19, dan rakannya, Jeffery Jamin, 17, dikatakan mahu menyeberangi Sungai Rajang menggunakan perahu sekitar jam 10.15 malam.
Namun, enjin sangkut perahu tiba-tiba rosak menyebabkan mereka hanyut dibawa arus deras menuju sebuah tongkang sebelum terperosok dan karam.
Jeffery dikatakan sempat terjun untuk menyelamatkan diri dan memaklumkan insiden itu kepada keluarga mangsa sebelum berusaha mencari Maxmecluess di sekitar kawasan kejadian.
Bagaimanapun, usaha tersebut gagal dan mereka tampil membuat laporan polis ke IPD Kapit pada jam 2.38 pagi semalam.
Susulan itu, pasukan bomba dari BBP Kapit bersama empat anggota diketuai oleh PBK II Perita Jepai bertindak memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8 pagi semalam.
Menurut maklumat dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, operasi pencarian menggunakan bot penyelamat tertumpu pada radius tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.
Sehingga berita ini ditulis, pasukan SAR masih berada di lokasi menjalankan pencarian menggunakan kaedah pengesanan dalam air. -UB
Comments
Post a Comment