Sarawak Mungkin Akan Perkenal Sistem LRT

KUCHING: Sarawak akan merangka pelan jangka panjang untuk menaik tarafpengangkutan awam di negeri ini termasuk kemungkinan memperkenalkansistem Transit Aliran Ringan (LRT).

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia bagi menghubungkan beberapa bahagian iaitu Kuching, Serian dan Samarahan.

“Saya telah meminta Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Urbanisasibersama Kementerian Perancangan Sumber untuk bekerjasama dalam merancang serta melaksanakan kajian mengenai aliran trafik ini.

“Saya mahu mereka mendapatkan pelan pengangkutan terbaik yang boleh kita gunakan termasuk sistem LRT dan kita perlu merancang lebih awal dalam perkara ini jika kita mahu menaik taraf sistem pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)@Muara Tuang yang dimajukan oleh Blessed Builders Sdn Bhd dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato Sri Thomas Lau di sini, semalam.

Abang Johari berkata, diakui bahawa pemasangan sistem berkenaan mungkin menelan kos yang besar dan Sarawak bersedia menggunakan peruntukan kerajaan negeri selain daripada bantuan kerajaan pusat.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, dengan pendekatan atau pengangkutan awam yang terbaik, ia akan menyaksikan perancangan yang lebih sistematik di bandar raya ini.

“Ini bermakna masyarakat senang akses ke pusat bandar dari kawasan pinggir bandar dari bahagian yang kita hubungkan seperti Samarahan, Serian dan Kuching.

“Ini kerana durasi masa yang paling tepat dari sesebuah taman perumahan kepada bandar adalah 30 minit, itu yang kita mahukan,” tegasnya.

Beliau berkata perancangan sedemikian juga sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk membangunkan kawasanpinggir bandar selain mengurangkan kesesakan aliran trafik yang bertumpu dipusat bandar.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata dengan sistem pengangkutan yang baik termasuk memperkenalkan LRT juga ia memudahkan perjalanan para pelancong yang datang ke Sarawak.

“Kita tahu, untuk kita menyelesaikan masalah kesesakan ini, kita perlu merancang lebih awal dalam meningkatkan lagi sistem pengangkutan awam di Sarawak,” tegasnya. -UB

Comments