Lelaki Pecahkan Cermin Premis Digi Di Sibu Kini Direman 3 Hari

SIBU: Lelaki yang mengamuk di dua pusat khidmat pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi, di sini semalam direman tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Saiful Sayoti di Mahkamah Majistret Sibu, di sini sebentar tadi. Suspek direman mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan melakukan ugutan jenayah serta perbuatan khianat.

Jika sabit kesalahan, lelaki terbabit boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali. Dalam kejadian jam 1.45 petang semalam, suspek yang menggunakan kayu golf bertindak memecahkan pintu kaca pusat khidmat pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Wong King Huo, di sini sebelum merosakkan beberapa telefon bimbit dipamerkan.

Lelaki itu kemudian memecut kenderaannya ke sebuah lagi pusat khidmat pelanggan syarikat telekomunikasi sama di Jalan Keranji dan memecahkan pintu hadapan premis berkenaan. Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Saiful Bahari Abdullah, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati jumlah kredit telefon bimbitnya dipotong oleh syarikat telekomunikasi terbabit.

"Polis berjaya menjejaki suspek yang bekerja di sebuah pusat hiburan di sini dan menahannya di sebuah lokasi di Jalan Belian pada jam 5 petang semalam. Sebatang kayu golf yang digunakan untuk merosakkan premis itu turut dirampas," katanya.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berkenaan mula tersebar di media sosial sejak petang semalam. Video pertama kejadian berkenaan menunjukkan suspek memukul beberapa unit telefon bimbit sebelum keluar dari premis yang dipercayai rakaman dari premis di Jalan Wong King Huo.

Video kedua pula menunjukkan suspek keluar dari sebuah kereta jenis Toyota Hilux berwarna hitam dan terus memecahkan pintu kaca sebuah lagi cawangan syarikat telekomunikasi sama di Jalan Keranji. Seorang pengawal keselamatan dilaporkan terluka di bahagian belakang telinga sebelah kanan akibat terkena serpihan kaca. -BH

Comments