SPM: 577 Calon Sarawak Dapat Semua A



KUCHING: Seramai 577 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Sarawak memperoleh sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon berkata, seramai 36,263 calon menduduki peperiksaan SPM di Sarawak pada tahun lalu.

"Seramai 13 orang calon berprestasi tertinggi yang mendapat gred A+ dalam semua matapelajaran . Daripada jumlah tersebut, seorang mendapat 11A+, 6 orang (10A+) dan 6 orang mendapat 9A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam semua mata pelajaran pula ialah 577 orang," katanya.

Menurutnya, seorang calon berkeperluan khas kategori kurang upaya penglihatan (rabun), Suzanne Jelian dari SMK Batu Lintang mendapat keputusan yang membanggakan.

"Beliau memperolehi gred B+ dalam dua mata pelajaran, C+ dalam satu mata pelajaran, D dalam dua mata pelajaran dan E dalam satu mata pelajaran," ujarnya.

Menurutnya, secara keseluruhan keputusan peperiksaan SPM 2016 Sarawak menunjukkan peningkatan berdasarkan nilai Gred Purata Negeri (GPN) daripada 5.47 pada 2015 kepada 5.34 tahun lepas.

“Pencapaian calon negeri Sarawak dalam SPM 2016 telah mengatasi atau menyamai pencapaian peringkat kebangsaan dalam 44 mata pelajaran.

“Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) pula, sebanyak 14 buah Sekolah Menengah yang mencapai gred yang teratas di negeri ini, antaranya SM Sains Kuching, SM Sains Miri, Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching dan SM Sains Kuching Utara,” jelasnya.

Beliau menambah, seramai 26,769 daripada 32,245 calon SPM 2016  berjaya mendapat sijil SPM dengan memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus Bahasa Malyu dan Sejarah.

“Sebahagian besar sekolah di Sarawak dapat dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan,” ujarnya. – Sarawakiana

Comments