Suspek Kes Bunuh Lutong Miri Direman 7 Hari

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Kampung Pasir, Lutong pada Ahad lalu diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat ASP Zainan Azili Abdul Latiff.

Dalam permohonannya, Zainan memberitahu pada petang 19 Mac lalu, seorang wanita berusia 24 tahun membuat laporan di Balai Polis Lutong.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 4.30 petang hari sama, beliau ada menerima panggilan telefon daripada seorang sepupu yang memberitahu bahawa ayahnya tidak sedarkan diri di rumah sepupunya itu.

Sebelum pengsan, ayah pengadu ada memberitahu sepupunya itu bahawa dia telah dipukul menggunakan sebatang besi oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘James.’

Mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan segera dandoktor mengesahkan mangsa yang dikenali sebagai Jaya Nyandang, 51, mengalami keretakan di bahagian kiri tengkorak serta pendarahan dalam otak.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 12.30 tengah hari, 20 Mac lalu di sebuah rumah di Tudan Desaras di sini, polis berjaya menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes terbabit.

Dalam permohonan lanjutnya, Zainan memberitahu reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 29tahun dari Kampung Pasir, Lutong di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.

Mahkamah membenarkan permohonan reman itu dan memerintahkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Mac ini.

Terdahulu menurut Zainan, terdapat tiga suspek dalam kes itu di mana suspek pertama dan kedua yang ditangkap padajam 10.30 malam, 19 Mac lalu di sebuah rumah di Simpang 4, Kampung Pasir Lutong merupakan bapa dan adik lelaki kepada suspek ini (suspek ketiga).

Suspek pertama dan kedua, berusia 55 dan 27 tahun yang dibawa ke Mahkamah Majistret pagi kelmarin diperintahkan supaya direman empat hari sehingga 24 Mac ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, sekitar  jam 3.05 petang,20 Mac, pihak Hospital Miri memaklumkan bahawa mangsa (Jaya) yang koma sejak dihantar ke hospital pada 19 Mac lalu disahkan meninggal dunia jam 2.41 petang kelmarin.

Justeru, menurut Zainan, siasatan kes ini yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kini ditukar kepada Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh. -UB

Comments