6 Pegawai Imigresen Sarawak Di Dakwa Menerima Rasuah

KUCHING 10 April - Enam pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak (JIMS) didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan pada tahun lalu.

Mereka masing-masing menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh, Gracy Bohan, 35, dan Norhaliza Hussein, 33, menerima dua pertuduhan, manakala Benjamin Morsit, 33, Khairul Nizam Omar, 41, Agnes James Daim, 42, Emily Ngayan Beliang, 36, masing-masing satu pertuduhan.

Kesemua tertuduh didakwa menerima suapan daripada individu menerusi transaksi bank yang mempunyai kaitan dengan tugasan rasmi.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menetapkan tarikh sebutan kes 28 April dan membenarkan ikat jamin mahkamah daripada RM5,000 hingga RM8,000 dengan seorang penjamin yang menetap di Kuching dengan slip gaji tidak kurang RM1,000.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Katherine Nais, Mohd. Asri Abu Mansor dan Ikhwan Mohd. Ibrahim mencadangkan jaminan tunai RM10,000 dan dua penjamin. - Utusan Online

Comments