Awan Mendung Di Kem Sarawak FA, David Usop Mungkin Cari Penyerang Baharu

KUCHING: Di sebalik desakan agar beliau direhatkan, Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop malam tadi sekali lagi gagal menulis berita kemenangan.

Semuanya gara-gara satu perkara: “terjemahan peluang kepada gol”. Aksi malam tadi menyaksikan Sarawak dan Kelantan terikat tanpa jaringan.

Dari segi taktikal, ramuan strategi Sarawak secukup rasa.

Malah berjaya menyaingi lawan yang jauh lebih tinggi rankingnya, selain menjadi pemilik rangkaian pemain berpengalaman.

Justeru wajarlah David kelu, tatkala berjalan keluar dari bangku simpanan ke bilik persalinan.

“Saya hilang kata-kata. Segala-galanya telah dilakukan, tetapi bola memilih untuk tidak menerjah jaring.

Bagi David, keputusan perlawanan di Stadium Negeri itu seharusnya memihak kepada Sarawak.

Bola yang seharusnya bergolek ke dalam gawang bagaimanapun hanya menyentuh tiang serta disentuh penjaga gawang lawan.

Keluhan David ada asasnya, kerana anak-anak buahnya bermain dengan cukup baik dan bertenaga.

Malah sebanyak lapan ledakan ke arah gol berjaya dilepaskan, dengan enam tepat ke sasaran. Ia berbeza dengan anak-anak buah Zahasmi Ismail yang meledakkan empat percubaan, dengan dua ke langit. Cuma rezeki gol masih tidak menyerlahkan siri.

Dengan fenomena yang berterusan hingga tamat separuh pusingan Liga Super, tidak hairanlah David bagai hilang selera, terutama di akhir perlawanan.

Malah buat kali pertama, beliau tidak berselindung untuk menggantikan pemain import; sekurang-kurangnya untuk memiliki penyudah yang lebih tajam.

Katanya, Sarawak tidak harus dibeliti masalah ini secara berterusan.

“Jendela perpindahan yang terbuka pada bulan depan harus dimanfaatkan untuk mengelakkan skuad Ngap Sayot terus karam, terutama di laman sendiri.

“Anda sendiri lihat, deretan peluang dihasilkan, tetapi penyudah sama ada ke dakapan penjaga gol, ataupun ke langit.

“Seharusnya pemain import lebih tajam dan berupaya meledakkan gol, berbanding barisan penyerang muda kita,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun katanya, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain muda seperti Abdul Rahim Abdul Razak yang acap kali mencipta onar di kubu lawan.

“Saya juga berpuas hati dengan keupayaan pasukan pertahanan yang bermain mengikut ‘gameplan’ yang dirancangkan iaitu ‘mengunci’ kelibat penyerang berbisa Kelantan, Mohamad Ghaddar.

David berkata, beliau akan membuat laporan penilaian pada minggu ini, berkaitan prestasi pemain untuk dibincangkan oleh pengurusan tertinggi persatuan.

“Ia berdasarkan pemerhatian pasukan jurulatih kita, selain mengemuka perancangan seterusnya untuk pusingan kedua liga.

“Kita juga akan menaikkan cadangan-cadangan lain termasuk menilai kedudukan para pemain import yang sedia ada ,” tambahnya.

Pada masa yang sama, panel kejurulatihan persatuan yang diketuai Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Abdoll Wahet Uji akan menyediakan laporan mereka sendiri, jelasnya.

Sarawak pada musim ini diwakili oleh hampir kesemua pemain asal Sarawak kecuali tempat pemain import dan satu dari Sabah dan dua dari Semenanjung. – Sarawakvoice

 

 

Comments