Bayi Cedera Jatuh Dari Rahim Ibu


gambar hiasan

KUCHING: Seorang bayi mengalami kecederaan muka, kepala serta anggota badan selepas terjatuh apabila lahir sebelum tempoh matang di sebuah kediaman di sebuah kem, Batu Lapan, Jalan Penrissen, di sini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7 petang Sabtu lepas apabila wanita berusia 29 tahun itu tidak menyedari dirinya bersalin ketika berada di bilik air.

Ketika kejadian katanya, wanita berkenaan yang mengandung hampir tujuh bulan dan dijangka melahirkan bayi pada Julai ini, berseorangan di dalam rumah manakala teman lelakinya sedang bekerja.

“Siasatan mendapati semasa ibu mangsa hendak kencing dan sedang mencangkung separuh, mangsa terkeluar dan terjatuh atas lantai tandas,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kes tersebut semalam.

Aidil berkata ibu bapa mangsa kemudian bergegas membawa bayi berkenaan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan kecemasan.

Katanya hasil imbasan CT yang dijalankan terhadap bayi turut mendapati mangsa mengalami pendarahan di bahagian otak dan keretakan di bahagian kiri tengkorak.-Utusan Borneo Online

Comments