Anggota TLDM Hilang Di Laut Bintulu, Operasi Besar-Besaran Dilancar Bagi Mencari Mangsa

BINTULU: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat dalam Kapal Diraja (KD) Perantau dikhuatiri hilang setelah terjatuh kira-kira 90 batu nautika barat daya di perairan Bintulu.

Anggota tersebut disedari hilang apabila dia tidak kelihatan dalam perbarisan wajib harian pada jam 9 pagi semalam.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob, ketika mengesahkan insiden berkata, mangsa dilihat kali terakhir di bilik rehat kapal sekitar jam 7.15 pagi, sebelum ghaib.

KD Perantau ketika kejadian dalam pelayaran ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak selepas bertolak dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar dekat sini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut melibatkan KD Selangor dan helikopter Super Lynx selain bantuan aset milik Maritim Malaysia (APMM) dari sini.

“Markas Wilayah Laut 2 turut mendapatkan bantuan udara daripada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan membuka bilik operasi SAR di Markas Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Dimaklumkan, KD Perantau yang dinaiki 80 anak kapal ini telah berada di Sabah dan Sarawak selama enam hari selepas melaksanakan ujian penerimaan sistem pengukuran hidrografi.

Sementara itu, Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksmana Maritim Pertama, Ismaili Bujang Pit mengesahkan pencarian bersama-sama TLDM itu melibatkan dua buah kapal perondanya termasuk sebuah pesawat jenis AW-39 yang akan berlepas dari Miri pagi ini.

Jelasnya, pada masa ini, sebuah kapal perondanya, KM Pekan yang menjalankan misi pemantauan di sekitar Beting Patinggi Ali, telah pun digerakkan untuk membantu mengesan anggota TLDM yang hilang terbabit.

Laksamana Ismaili turut mendedahkan pengesanan dari udara adalah penting dalam operasi ini kerana kawasan pencarian yang luas. – Sarawakvoice

Comments