Polis Tahan 3 Remaja Pecah Rumah Bekas Timbalan Ketua Polis Di Kuching

KUCHING: Tiga remaja ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kerana disyaki memecah masuk rumah bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Jamil Johari di Jalan Dagok Timur di sini malam kelmarin.

Menurut sumber, ketiga-tiga remaja berusia 15 dan 18 tahun itu ditahan di tempat kejadian selepas anggota polis menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 7.15 malam.

“Anggota polis terus ke lokasi kejadian selepas menerima laporan dan berjaya menahan ketiga-tiga remaja terbabit.

‘Ketiga-tiganya masing-masing berasal dari Kampung Bintangor, Jalan Ajibah Abol dan semasa ditahan mereka mengaku melakukan kejadian pecah rumah tersebut,” kata sumber.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu ketiga-tiga suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Bertindak atas maklumat tersebut, anggota kita bergegas ke lokasi kejadian berjaya menahan ketiga-tiga suspek serta merampas seunit televisyen dan sebuah almari pakaian antik.

“Usaha mengesan lain-lain barang kes sedang dijalankan,” katanya yang turut mengesahkan bahawa rumah tersebut milik bekas Timbalan Ketua Polis Negarayang disewa kepada orang lain. -Utusan Borneo Online

Comments