DAP Cadang Kepada Kerajaan Sarawak Agar Disediakan Perkhidmatan Bas Percuma Di Sarawak



KUCHING: Pemimpin muda Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan perkhidmaatan bas percuma di negeri ini.

Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP Petra Jaya, Abdul Aziz Isa mencadangkan supaya kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan bas percuma dengan menambah bilangan bas dari 100 kepada 400 buah melalui pengambilalihan syarikat-syarikat pengangkutan bas awam.

“Ia akan melibatkan kos sebanyak RM385 juta untuk lima tahun bagi pengambilalihan, operasi, pengurusan, penambahan jumlah bas dan perkhidmatan percuma,” jelasnya menerusi akuan Facebook semalam

Beliau membuat cadangan tersebut sebagai reaksi kepada pengumuman Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk membina system LRT di selatan negeri ini menjelang 2020.

Aziz berkata tiada guna Abang Jo bercadang untuk membina LRT di Sarawak jika masalah perhubungan jalan dan pengangkutan awam tidak diselesaikan dengan segera.

Beliau yang juga Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen berkata kelemahan pengangkutan awam di Sarawak perlu ditangani terlebih dahulu sebelum kerajaan bercadang membina system Transit Aliran Ringan (LRT)

“Akibat kekurangan jaringan jalan raya dan fly over, jalan sekitar Bandar Kuching, Kota Samarahan dan Petra Jaya semakin sesak terutamanya di kawasan Batu Lintang, MJC Batu Kawah, Batu Empat, Batu Tujuh, dan Batu Sepuluh,” katanya.- Sarawakiana

Comments