Dua Anak Beranak Maut Kemalangan Kereta Di Sri Aman


Sri Aman- Dua disahkan maut masing-masing seorang wanita berusia 32 tahun  dan kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun yang merupakan anak beranak selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di KM52, Jalan Sri Aman awal pagi tadi.

Dua yang maut adalah penumpang bahagian tempat duduk depan dan penumpang bahagian belakang kereta jenis wira manakala pemandu mengalami kecederaan di dahi dan dua lagi kanak-kanak perempuan di bahagian tempat duduk belakang mengalami kecederaan di bahagian dahi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihak bomba yang menerima panggilan pada pukul 2.18 pagi telah mengerakkan 9 anggota termasuk 2 EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman ke lokasi kejadian. 

"Sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 3.03 pagi, Komander Operasi bomba melaporkan kemalangan melibatkan 1 buah kenderaan jenis Proton Wira dan siasatan awal mendapati kereta berkenaan telah melanggar dan terperosok di belakang lori kargo milik Syarikat Borneo Link Logistik yang diletakkan di tepi jalan laluan memotong.

"Kemalangan membabitkan 5 orang sekeluarga yang terdiri daripada seorang lelaki dan empat perempuan di mana penumpang yang maut duduk di bahagian penumpang hadapan didapati telah tersepit manakala anak ketiga pasangan berkenaan yang maut mengalami kecederaan di bahagian dahi," katanya.

Pihak Bomba mengambil masa kira-kira satu jam 25 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terlibat.

"Pasukan Bomba mengambil masa kira-kira satu jam lebih untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan sebaik kesemua mangsa berjaya dikeluarkan, mereka telah dibawa ke hospital untuk tindakan susulan," ujarnya lagi.

Pemandu kereta Mohd Rezal Eden, 35 dan dua lagi anak perempuan yang cedera di dahi berusia 10 dan 6 tahun telah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.

Keluarga berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Kuching ke Sarikei untuk melawat nenek mereka yang sakit manakala lori berkenaan pula dalam perjalanan ke Sibu. 

Mangsa yang maut dikenali sebagai Jamayiah binti Morni, dan Jyma'atun Khodijah binti Mohd Rezal yang merupakan isteri dan anak perempuan pemandu kereta berkenaan di mana keluarga itu berasal dari Kampung Pulo Ulu, Kuching.

Mayat mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk siasatan lanjut dan punca kemalangan masih dalam siasatan. -Friends KLXpress Sarawak

Comments