Bintulu: Polis Bintulu terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke udara dan selain menembak tayar sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebelum berjaya mematahkan cubaan curi kenderaan oleh satu sindiket yang aktif di bandar ini sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zailani Amit berkata, sebelum anggota dan pegawainya berjaya menahan dua suspek yang terlibat, mereka terpaksa melakukan kekerasan minimum setelah suspek bertindak agresif.
“Semuanya bermula apabila sekitar jam 1.41 petang tadi, pasukan daripada Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Bintulu dan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu membuat pemerhatian terhadap sebuah kenderaan jenis Honda CRV warna hitam yang mencurigakan.
“Setelah setengah jam, dua lelaki telah keluar dari kenderaan tersebut dan melarikan sebuah Toyota Hilux SR.
Sebaik mencuri hilux tersebut katanya, kedua-dua saspek telah melarikan diri dan kejar-mengejar berlaku.
“Anggota yang terlibat berjaya menahan dua suspek selepas beberapa tembakan dilepaskan ke udara dan ditembak pada tayar kereta.
“Suspek yang masih di dalam kenderaan ketika ditahan kemudian cuba bertindak agresif untuk melepaskan diri, dan kekerasan minimum terpaksa dilakukan untuk menjayakan tangkapan.
Kata Zailani, pihaknya turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita sebelum merampas sebuah kenderaan Honda CRV yang digunakan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku mencuri sebuah kenderaan Toyota Hilux yang diletakkan di kawasan lapang di hadapan Time Square Mega Mall.
“Malah suspek turut mengaku telah mencuri sebuah kenderaan Toyota Hilux Single Cab yang diletakkan di kawasan Zon Perindustrian Ringan Kemena sebelum itu,” katanya lagi.
Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan, tambahnya. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment