KUCHING: Hanya kerana tidak ingin disentuh, seorang wanita nyaris maut dibelasah suaminya dalam satu insiden di Jalan Pisang Barat di sini, semalam.
Menurut sumber, mangsa, 46, yang merupakan seorang suri rumah terdahulu dipercayai bergaduh dengan suaminya dalam kejadian sekitar jam 3.20 pagi dan dikatakan memberitahu suaminya bahawa dia tidak mahu disentuh.
Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan si suami naik berang lalu bertindak membelasah mangsa selain turut mengugut akan membunuhnya sekiranya dia cuba melarikan diri.
“Mangsa dikatakan hanya memberitahu‘jangan pegang saya’ kepada suaminya yang kemudian mengamuk dengan mencekik leher, menamparnya dimuka serta menumbuk di bahagian kepala dan menarik rambut mangsa.
“Selain itu, mangsa juga mendakwa dia turut diugut akan dibunuh suaminya menggunakan parang jika dia cuba melarikan diri daripadanya,” kata sumber.
Mangsa yang ketakutan hanya mendiamkan dirinya sebelum meminta pertolongan ahli keluarga yang lain dan dihantar membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
Sehingga berita ini ditulis semalam, siasatan polis masih dijalankan dan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sementara dalam kejadian berasingan, seorang ahli perniagaan dibelasah isteri dan ibu mentuanya semasa hendak menghantar anaknya mengikuti kelas tuisyen di Jalan Nanas, di sini kelmarin.
Difahamkan, insiden berlaku sekitar jam 7.45 malam Khamis lepas apabila mangsa bersama seorang pekerjanya tiba di rumahnya untuk menjemput anaknya.
“Sampai di rumahnya, mangsa telah diserang oleh isteri dan ibu mentuanya menggunakan tukul sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa anggota badan memaksanya melarikan diri,” kata sumber.
Mangsa kemudian terus membuat laporan di balai polis berhampiran dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan. - Utusan Borneo Online
Comments
Post a Comment