CATATAN CIKGU ZUL : NAMA IBU DAN AYAH MERUPAKAN MARUAH BAGI KAUM IBAN, JIKA DIPERMAINKAN BOLEH MENYEBABKAN “TULAH”


Isu hangat yang menyerang hendap di media sosial beberapa hari ini ialah isu pengacara sebuah stesen televisyen yang melakukan aksi melampau apabila menyebut nama mendiang ayah bekas Pelari Pecut Negara, Watson Nyambek. Tindakan pengacara tersebut telah menyinggung perasaan ramai pihak yang mengenali beliau terutamanya rakyat jelata negeri Sarawak. Saya tidak mahu mengulas perkara yang sudah berlaku ini dengan jelas kerana masing-masing sedia maklum dengan tindakan pihak yang bersalah dan pihak Watson Nyambek berhubung dengan isu ini. Perkara yang mahu saya ketengahkan ialah budaya dan adat istiadat kaum Iban yang begitu menghargai nama ibu dan bapa mereka. Bagi masyarakat bukan Iban, hal ini dianggap remeh. Akan tetapi, bagi masyarakat Iban, nama ayah dan ibu mereka merupakan maruah yang perlu dijaga. Orang lain tidak boleh mempersendakan nama ayah dan ibu mereka. Jika keadaan ini berlaku, pergaduhan boleh tercetus dan kes ini mungkin menjadi besar sehingga terpaksa diadili oleh Tuai Rumah (Ketua Kampung), Penghulu, mahupun Pemanca. 

NAMA YANG UNIK

Nama orang Iban sangat unik kerana mereka begitu dekat dengan alam sekitar yang sentiasa terpelihara keaslian dan keindahannya. Nama anak kadang-kadang diberikan berdasarkan kejadian yang berlaku di sekeliling mereka. Akan tetapi, setiap nama itu mempunyai identiti dan makna yang tersendiri. Mereka menamai anak mereka dengan pelbagai makna yang tersirat di sebalik yang tersurat. Walaupun mungkin maksudnya dalam bahasa Melayu atau bahasa kaum lain mungkin pelik, ganjil, atau lucu tetapi bagi mereka adalah maruah dan kedaulatan. Oleh itu, mereka tidak malu menunjukkan identiti diri dengan menggunakan nama yang tercatat dalam Kad Pengenalan mereka. Orang yang tidak faham mungkin tidak kering gusi mentertawakan tetapi tindakan sebegini hanya melibatkan sekumpulan kecil individu yang kurang cerdik. Jika kita berilmu dan faham kepercayaan dan pegangan setiap suku kaum kita tidak akan tergamak mencaci atau menghina orang hanya kerana nama, kita akan melihat semua itu daripada sudut yang positif. Yang penting ialah hati yang ikhlas dan jujur dalam diri seseorang. Seindah manapun nama kita kalau hati kita penuh dengan niat jahat dan keji, orang tetap tidak akan menghormati kita. 

KONSEP TULAH

Kamus Dewan mentakrifkan tulah sebagai kemalangan yang menimpa kerana melanggar larangan seperti melakukan sesuatu yang kurang baik terhadap orang tua-tua, menderkaha kepada Raja, dan sebagainya. Tulah boleh mendatangkan kesengsaraan atau mengakibatkan seseorang mendapat kecelakaan akibat daripada perbuatannya itu. Takrifan tulah ini adalah sama dengan konsep yang dipegang oleh kaum Iban di Sarawak secara turun temurun. Orang yang melakukan tulah akan mendapat ketulahan. Dalam konteks mempersenda nama ibu atau bapa, orang yang mempermainkan atau mempersenda nama ayah atau ibu orang lain dianggap boleh mendapat tulah. Mereka dianggap tidak menghormati maruah dan keturunan orang yang dipersendakan itu.

Jika kita menjadi menantu dalam sesebuah keluarga, kita tidak boleh langsung menyebut nama sebenar mertua lelaki mahupun mertua perempuan. Jika diminta berbuat demikian secara lisan kita dilarang daripada melakukannya. Kita boleh mewakilkan orang lain yang tidak berkaitan untuk menyebutkan nama mertua kita atau kita boleh menulis atau mencatat namanya pada sekeping kertas. Hal ini dikatakan demikian kerana menantu yang dengan sengaja menyebut nama mertua mereka akan dianggap tulah dan orang yang tulah itu dikhuatiri akan mendapat pelbagai kecelakaan dalam hidup mereka. Hidup mereka tidak akan sejahtera. Mereka akan selalu ditimpa malang. Mereka sukar untuk mendapatkan kebahagiaan. Pada pandangan saya, kepercayaan sebegini bukannya kolot tetapi merupakan salah satu cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang tua-tua terutamanya mertua kita. Oleh itu, orang Iban akan memanggil ayah mereka “Apai” dan ibu mereka “Indai”. Konsep menghormati mertua ini masih lagi menjadi pegangan masyarakat Iban hingga kini biarpun semakin ramai anak-anak muda yang berpendidikan dan berjawatan tinggi. Tradisi dan identiti masyarakat Iban masih mereka pegang hingga ke hari ini.

SEMPIT FIKIRAN

Konsep menghormat ibu bapa dan orang tua-tua dalam masyarakat Iban amat tebal. Jurang antara orang tua-tua dengan anak-anak muda amat dijaga. Mereka yang tidak menghormati orang tua-tua akan dianggap menderhaka. Oleh itu, apabila orang lain mempersendakan nama ibu atau bapa mereka, perkara ini boleh menyebabkan amarah mereka meledak sehingga sukar dikawal. Bagi orang Iban, tindakan menyamakan nama ibu atau ayah mereka dengan binatang atau hidupan lain di muka bumi ini amatlah dikesali kerana itu dianggap penghinaan ke atas keluarga dan keturunan mereka.  Ibu atau bapa bagi mereka merupakan simbol kedaulatan dan perpaduan keluarga. Mereka amat mengasihi dan menyayangi ibu bapa mereka seperti juga kaum-kaum yang lain. Apabila kita mempersenda nama ibu bapa mereka bermakna kita sengaja cari ‘pasal’ dengan mereka, bak kata pepatah, “jangan dijolok sarang tebuan”.  Jika dijolok juga, tabuan itu tidak akan berhenti mengejar kita sehingga kita parah disengat tanpa rasa belas dan kasihan. 

Nama ibu atau nama bapa sahaja pun? Ya, memang. Akan tetapi, kita hidup dalam sebuah masyarakat majmuk harus faham adat istiadat dan kepercayaan setiap suku kaum. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan nama, adat, kepercayaan, bentuk fizikal dan kecacatan seseorang untuk dijadikan bahan lawak. Kali pertama, kita mungkin kita terlepas. Kali kedua dan ketiga, kita mungkin bernasib malang apabila orang yang kita jadikan modal untuk mengacara atau melawak itu mengambil tindakan mahkamah terhadap kita. Orang Iban boleh memaafkan kita bagi kesalahan lain yang kita lakukan namun apabila perkara itu bersangkutan dengan ibu atau bapa mereka, jangan menyesal kalau mereka bersungguh-sungguh memperjuangkannya. Oleh itu, demi keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat kita harus memandang perkara ini dengan kedua-dua belah mata agar kita tidak mencetuskan kontroversi sehingga boleh menyebabkan kita dikenakan tindakan tatatertib dan sebagainya.

SENSITIFNYA ORANG SARAWAK

Tuduhan ini sebenarnya tidak berasas. Kita harus melihat dengan teliti, apabila timbulnya sesuatu isu, bukan mereka yang mencetuskan isu tersebut. Masyarakat di Sarawak terutamanya golongan belia semakin bijak melihat sesuatu perkara terutamanya aspek pembangunan dan hak mereka sebagai pribumi. Apabila semakin banyak yang berilmu dan berpendidikan tinggi, sedikit demi sedikit mereka mula mengkaji dan meneliti sejarah dan mereka selalu beranggapan selama ini mereka hanyalah “anak tiri” maka jiwa mereka menjadi teramat sensitif serta mudah tersentuh. Walau bagaimanapun, saya tidak menganggap semuanya begitu. Ramai lagi rakyat Sarawak yang matang dalam melihat sesuatu perkara. Mereka redha dengan nasib dan apa-apa yang mereka ada. Mereka tidak mengeluh mahupun melaungkan pelbagai slogan demi menuntut hak dan sebagainya. Cuma, dengan kemajuan media sosial apabila tercetus isu-isu yang menyentuh kaum, negeri, adat, dan kepercayaan, mereka memang lantang mempertahankan diri. Oleh itu, elakkan daripada mengutuk atau menghina apa-apa sahaja yang berkaitan dengan setiap suku kaum di Malaysia.

Kita tidak boleh menilai seseorang hanya dengan mendengar cerita daripada orang yang cetek ilmunya tentang orang lain. Saya teringat akan suatu peristiwa semasa saya dijemput memberikan ceramah di salah sebuah negeri di Semenanjung Malaysia, saya berbual-bual dengan seorang penceramah yang pernah lima tahun mengajar di Bintulu Sarawak. Dia bercerita tentang pelbagai perkara yang kebanyakannya tidak betul tentang masyarakat di Sarawak. Hampir 90% cerita beliau merupakan fantasi yang mungkin dijana di minda bijaksana seorang penceramah yang bijak berkata-kata. Beliau sebenarnya tidak tahu saya orang Sarawak. Selepas beliau tamat bercerita, saya memperkenalkan diri dari Sibu Sarawak. Ketika itu saya melihat mukanya merah padam dan dia terus menghilang dari majlis. Kebetulan pula slot ceramah beliau sudah berakhir. Walau bagaimanapun, saya tidak membenci beliau malahan saya mendoakan agar suatu ketika ilmu beliau tentang Sarawak dan warganya akan bertambah. Yang saya risau ialah orang yang mendengar celoteh nakal beliau itu, mereka semuanya tidak pernah ke Sarawak dan mereka ini mendapat pengalaman daripada cerita beliau itu untuk disebarluaskan kepada orang lain pula. 

Sebenarnya, saya tidak memuji tetapi ingin menarik anda untuk bertapak di paksi realiti tentang masyarakat Iban di Sarawak. Mereka amat menghormati tetamu. Cubalah bertanya kepada guru-guru dari Semenanjung yang berkhidmat di kawasan pedalaman yang tidak segan bergaul dengan mereka. Orang Iban amat menghormati dan memuliakan mereka. Mereka tidak pernah dikasari atau dipersendakan. Mereka diterima sebagai ahli keluarga yang sentiasa didahulukan dalam semua perkara. Bagi orang Iban, tetamu itu pembawa rezeki. Setiap tetamu yang datang mereka akan layan dan sajikan dengan semua yang mereka ada. Mereka sanggup tidak mandi dari pagi hingga ke malam semata-mata melayan tetamu kerana jika mereka tidak berbuat demikian mereka dianggap tidak sopan dan tidak beradab. Walau bagaimanapun, pengalaman ini hanya akan dapat dirasai oleh mereka yang pandai bergaul. Sebilangan yang berpersepsi negatif, mereka sentiasa berkurung dan menutup pintu pergaulan dengan masyarakat setempat. Golongan sebegini, walaupun hidup di Bumi Kenyalang 100 tahun, persepsinya tetap juga negatif kerana mindanya telah diprogramkan sebegitu. Walau digondam sekalipun, kita tetap tidak akan berjaya menghapus syak wasangkanya. 

HORMATI DAN TERIMALAH

Sudah sampai masanya kita perlu menerima kepelbagaian itu suatu keunikan. Keunikan itu identiti. Identiti itu bukan bahan yang boleh dipersendakan. Kita amalkan konsep 1Malaysia demi kesejahteraan hidup bersama. Baik buruk setiap suku kaum kita kena terima kerana kita semua merupakan anak Malaysia. Alangkah ceteknya ilmu kita jika kita masih jahil dengan masyarakat yang mendiami sesebuah negeri di Malaysia. Zaman ini zaman digital, kaunter pertanyaan meluas di segenap empat penjuru dunia. Sebelum melakukan sesuatu kita harus bertanya dan melakukan kajian. Jika molek kita teruskan. Jika bobrok kita singkirkan. Kita tidak boleh meraih rezeki dengan menghina atau mempersendakan orang lain apatah lagi di kaca TV yang menjadi tontonan jutaan orang di seluruh dunia dan di alam maya. Apabila melakukan kesalahan, gunakan tenaga, mulut, dan kekuatan, jumpalah berdepan untuk memohon ampun dan kemaafan. Jangan hanya pandai mengarang kata-kata maaf di Facebook atau Instagram. Itu bukanlah memohon kemaafan secara ikhlas. Kemarahan orang mungkin tidak boleh kita padamkan tetapi boleh kita redakan andai setiap isu ditangani dengan matang dan berhemah.

Bumi mana tidak ditimpa hujan dan lautan mana tidak bergelombang. Kita sebagai manusia tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Akan tetapi, ambillah ikhtibar daripada kesilapan itu untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan. Sarawak bukan sahaja negeri yang terbesar di Malaysia malah suku kaum yang menjadi penghuni bumi Sarawak juga banyak, justeru luaskan pergaulan dan tambahkan pengalaman kita. Jangan sampai tercetus lagi isu-isu sebegini yang boleh mengeruhkan tenangnya air di kali hati kita. Apabila kita menganggap diri kita lebih maju daripada orang lain kita megah mendabik dada sehingga terlupa bahawa orang lain juga hebat seperti kita. Apabila kita terlalu percaya diri kita hebat maka kita mudah melakukan perkara-perkara jahat ke atas orang lain wahal semua itu akan mendatangkan duka nestapa ke atas diri kita juga. Dunia ini hanya pinjaman, sementara hidup luaskan pergaulan, tambahkan pengalaman, dan jalinkan persahabatan tanpa mengira kaum, agama, dan pegangan kerana semakin banyak yang kita faham tentang orang lain semakin banyak nikmat hidup yang akan kita kecapi.

Catatan Pendidik Bangsa

Cikgu Zulkarnain Farihin

SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak. 

Comments