Jalan Sibu-Kapit Dijangka Siap Hujung Tahun Ini. Berpotensi Jadi Laluan Pelancongan Bermotosikal

KUCHING: Pembinaan jalan Sibu-Kapit yang dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini mempunyai potensi besar untuk dijadikan destinasi pelancongan berasaskan aktiviti bermotosikal.

"Ia memandangkan jalan raya yang melalui sepanjang Sungai Batang Rajang itu amat bersesuaian untuk menjalankan aktiviti bermotosikal kerana laluannya yang baik serta mempunyai landskap menarik.

"Kalau jalan ini sudah siap nanti, saya sendiri akan menunggang motosikal dari Sibu ke Kapit kerana laluannya yang bagus untuk melihai bukit bukau dan alam sekitar yang indah seperti di Jepun," kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Memetik laporan Utusan Borneo, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, berkata, selain menikmati pemanduan di sepanjang laluan tersebut, ahli kumpulan atau kelab bermotosikal juga boleh singgah di mana-mana rumah panjang yang terdapat di situ.

Pada sidang media yang sama, Ketua Menteri turut menjelaskan kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan cadangan untuk membina litar motosikal sebagai langkah mengatasi kegiatan lumba haram atau mat rempit namun perkara itu perlu dibincangkan dengan lebih terperinci terlebih dahulu bersama pihak-pihak yang berkaitan.

Turut hadir  pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Belia dan Sukan datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Kameri Affandi dan Presiden BIBB Ramlee Tuah. - Sarawakiana

Comments