Jangkitan Alat Sulit Bongkar Kes Rogol Bawah Umur Di Sibu

SIBU: Seorang remaja perempuan bawah umur terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas tidak larat menahan kesakitan di bahagian alat sulitnya dipercayai terkena jangkitan selepas melakukan persetubuhan dengan teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau memberitahu, remaja berumur 15 tahun 8 bulan itu tiada pilihan kecuali mengadu kepada doktor mengenai kesakitan berkenaan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Mukah kelmarin.

“Pihak hospital mendapati sesuatu mencurigakan dan membuat laporan berhubung insiden itu di Balai Polis Mukah,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Menurutnya, remaja sudah berhenti sekolah tersebut juga mendedahkan bahawa dia melakukan persetubuhan bersama teman lelakinya sejak 2016 dankali terakhir Mac lalu.

“Siasatan awal pihak polis mendapati remaja bawah umur itu pernah melakukan hubungan seks di sebuah hotel bajet di Mukah,” katanya.

Bertindak daripada maklumat, polis kini mencari seorang suspek lelaki berumur dalam lingkungan 20-an untuk membantu siasatan.

Jimmy berkata, remaja tersebut dirujuk ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut petang kelmarin.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol,” tambahnya. -Utusan Borneo Online

Comments