Kes Buang Bayi Di Samajaya, Penuntut Kolej Swasta Direman Selama Seminggu Oleh Polis

KUCHING: Penuntut kolej swasta yang ditahan berhubung penemuan mayat bayi perempuan di tempat pembuangan sampah di Apartmen Samajaya, Jalan Usahajaya, direman selama seminggu sehingga 19 April ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, wanita berusia 24 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati bayi itu masih hidup sebelum dibuang dan kini polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Bedah siasat ke atas mayat bayi yang baru dilahirkan itu dijangka dijalankan minggu depan memandangkan pakar patologi (HUS) kini mempunyai tugasan di daerah lain," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang pekerja pembersihan apartmen terkejut menemui mayat bayi yang diletakkan di dalam sebuah kotak kira-kira jam 10 pagi semalam.

Bayi malang itu dilahirkan suspek jam 6.30 pagi hari sama di dalam tandas rumahnya sewanya yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat pembuangan sampah itu.-HM

Comments