Lelaki Cedera Di Perut Akibat Dilibas Dengan Senjata Tajam

KUCHING: Seorang buruh mengalami kecederaan di perut akibat dilibas senjata tajam oleh seseorang yang tidak dikenalinya dalam satu insiden di Taman Sourabaya Indah di sini, malam kelmarin.

Mangsa berusia 38 tahun dan bekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Kudei di sini semasa kejadian dikatakan singgah di sebuah kedai runcit ketika dalam perjalanan ke rumah kakaknya sekitar jam 11.45 malam.

“Mangsa memberitahu dia baharu tiba di kedai tersebut apabila seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba bertindak melibas senjata tajam ke arahnya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” kata sumber.

Pemilik kedai tersebut telah membantu merawat luka mangsa sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” kata sumber.

Laporan polis juga telah dibuat oleh mangsa dan operasi menjejaki suspek masih dijalankan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki kehilangan wang tunai kira-kira RM2,000 selepas begnya diragut semasa berjalan-jalan di Tabuan Jaya di sini sekitar tengah malam kelmarin.

Menurut sumber, mangsa semasa kejadian bersama teman wanitanya apabila sebuah kereta jenis pacuan empat roda tiba-tiba berhenti di tepi mereka lalu merampas begnya.

“Mangsa cuba melawan suspek untuk mendapatkan begnya itu semula, namun tidak berjaya apabila suspek berjaya memasuki semula ke dalam kereta tersebut dan terus memecut laju dari tempat kejadian,” kata sumber.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut. -Utusan Borneo Online

Comments