KUCHING: Padah mengganggu pelanggan di sebuah kelab malam, seorang lelaki parah akibat dibelasah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan semalam.
Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi apabila mangsa, 39, mula mengganggu beberapa pelanggan di kelab malam tersebut yang terletak di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC), di sini.
“Mangsa dipercayai mabuk dan sebelum kejadian sudah ditegur beberapa kali agar tidak membuat ‘kacau,’ namun tidak diendahkan menyebabkan beberapa pelanggan yang berada di kelab malam tersebut bertindak membelasahnya,” kata sumber.
Mangsa yang cedera di muka serta beberapa anggota badan kemudian dikejarkan ke HUS menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di HUS. Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki yang ditemui tidak bermaya di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim dipercayai akibat dibelasah juga dikejarkan ke HUS semalam.
Difahamkan, mangsa yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ditemui oleh orang awamduduk di kaki lima sebuah kedai dengan kesan kecederaan di muka serta kepalanya sekitar jam 8 pagi. Mangsa kemudian dikejarkan ke HUS menggunakan ambulans. -Utusan Borneo Online
Comments
Post a Comment