Lin Dan Mara Ke Final Terbuka Malaysia

KUCHING: Bekas juara dunia lima kali, Lin Dan hanya selangkah lagi untuk merealisasikan impian merangkul gelaran sulung Terbuka Malaysia apabila mara ke final di sini, hari ini.

Bintang sensasi China itu mengalahkan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho dalam rubber set pada saingan separuh akhir dan menunggu musuh tradisi, Datuk Lee Chong Wei di pentas final esok.

Pada pertembungan sengit di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, Lin Dan, selaku pemain ranking keenam dunia, terpaksa mengharungi laluan perit apabila menang tipis 27-25 pada set pertama.

Bagaimanapun, Lin Dan gagal pada set kedua dengan keputusan 19-21 sebelum bangkit semula dengan aksi menarik untuk mengesahkan tempat ke final dengan 21-16 pada set penentuan dalam pertarungan selama 84 minit.

Kejayaan ini melebarkan kemenangan Lin Dan terhadap Wan Ho kepada 10 perlawanan berbanding pemain Korea itu yang hanya menang dua kali dalam 12 pertemuan mereka.

Lin Dan berkata beliau bersyukur kesakitan bahagian belakang yang dialami sejak semalam tidak menjejaskan persembahannya.

Mengenai kemungkinan menentang Chong Wei pada final, beliau berkata sokongan kuat peminatnya di sini dan melihat musuhnya (Chong Wei) masih beraksi di peringkat tertinggi telah menyuntik semangat untuk memburu gelaran sulungnya di sini.

Chong Wei, yang memburu ke-12 di sini, dijangka tidak menghadapi masalah untuk layak ke final apabila menentang pemain Hong Kong, Vincent Wong Wi Ki pada satu aksi separuh akhir lewat hari ini.

Dalam acara separuh akhir beregu campuran, gandingan China, Lu Kai-Huang Yaqiong melakarkan kejutan untuk melangkah ke pentas final apabila menyingkirkan juara bertahan, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia.

Berada pada ranking keempat dunia, Lu Kai-Huang Yaqiong hanya mengambil masa 37 minit untuk menyingkirkan pasangan Indonesia itu dengan keputusan straight set 21-8, 21-16. Ketika ditemui pemberita, Lu Kai berkata kejayaan itu didorong semangat kuat untuk menumpaskan pasangan ranking ketiga dunia itu buat pertama kali dalam enam pertemuan sebelum ini.

Pada final, Lu Kai-Huang Yaqiong akan menentang gandingan senegara, Zheng Siwei-Chen Qingche, yang juga gandingan ranking pertama dunia. Zheng Siwei-Chen Qingche sebelum ini mengesahkan tiket ke final apabila hanya memerlukan masa 38 minit untuk mengalahkan gandingan senegara, Zhang Han-Li Yinhui 21-19, 21-14. - BERNAMA

Comments