Pemimpin DAP Mahu Kereta Api Dibina Di Semua Zon Sarawak




KUCHING: Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Irene Chang menggesa kerajaan negeri menimbang untuk membina sistem kereta api menghubungkan semua zon di Sarawak kerana terdapat peluang besar di masa hadapan.

“Saya menyokong cadangan sistem kereta api tersebut, tetapi ianya harus digunakan sebagai satu cara utama pengangkutan menghubungkan zon selatan, utara dan tengah di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan akhbar kelmarin.

Memetik laporan Utusan Borneo, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek berkata, idea membina sistem kereta api untuk melengkapkan rangkaian jalan raya sedia ada mula dibangkit oleh mendiang Wong Ho Leng beberapa kali sebelum ini termasuk pada tahun 1997, Mac 1998 dan November 2000.

“Dan usul juga dibuat oleh (ADUN Pelawan) Wong Kee Woan ketika persidangan dewan lalu pada November 2016 untuk mencadangkan pembinaan sebuah sistem kereta api bagi menghubungkan bandar utama di Sarawak,” jelasnya lagi.

Tegasnya, sistem kereta api boleh memberi saingan sihat untuk pengangkutan udara.

“Jika kita boleh mendapatkan sistem kereta api yang menghubungkan Sibu ke Kuching, Miri dan Bintulu, ia boleh memberi pilihan yang lebih berpatutan atau lebih murah berbanding menggunakan pengangkutan udara,” katanya.

Beliau juga menyifatkan sistem kereta api sangat diperlukan di Sarawak, terutama menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar di sebuah negeri yang mempunyai landskap fizikal yang hebat.

Oleh itu, Chang menggesa kerajaan negeri untuk terus menekankan pihak kerajaan persekutuan bagi membiayai projek pembinaan sistem kereta api tersebut.

“Ini seharusnya menjadi projek persekutuan kerana ia tersenarai di bawah Senarai Persekutuan di bawah Jadual Perlembagaan Kesembilan.

“Sarawak juga telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhannya, dari segi royalti minyak dan gas.

“Kita telah kehilangan begitu banyak dan sehingga kini, Sarawak masih antara negeri termiskin di negara ini walaupun memiliki sumber yang banyak,” katanya.

Menurutnya, sebagai satu-satunya negeri masih tiada sebuah stesen kereta api untuk menghubungkan kawasan yang luas, sudah tiba masanya kerajaan negeri mengguna pakai kuasa sedia ada bagi menuntut sebarang pembangunan untuk kebaikan rakyat. – Sarawakiana

Comments