Alhamdulillah sekarang dah masuk tahun ke 3 aku berbakti di Bumi Kenyalang. Masa isi untuk memohon penempatan aku lansung tak mintak untuk mengajar di Sarawak, tapi semuanya ketentuan Allah s.w.t. Di awal perjalanan semestinya aku sangat teruja dan tak sabar-sabar nak menjejakkan kaki ke sekolah.
Tapi, bila dah sampai dan melalui hari pertama di Sekolah Kebangsaan Long Sepiling, tiba-tiba aku bermonolog; "boleh ke aku nak survive di sini?"
Dulu boleh dikatakan tiap-tiap petang aku duduk termenung di tepi sungai, sambil layan sunset, sambil fikir bila nak beli tiket flight nak balik ke kampung. Hahaha. Itu cerita dulu, sekarang ni aku enjoy mengajar di Sarawak. Ada banyak benda yang aku ingin belajar.
Situasi di tempat kelahiran, Pulau Pinang sangat berbeza dengan keadaan di Sarawak yang majoritinya orang Kristian dan etnik yang tidak sama budaya dengan orang Melayu. Pernah dulu sebelum sampai ke Sarawak, ada orang cerita "kalau ke rumah panjang, kena paksa minum tuak..."
Sekolah Kurang Murid
"Ya Allah ya Tuhanku, bagi la aku dapat posting ke sekolah yang budak tak ramai..."
Percaya atau tidak, tu antara doa aku, ternyata termakbul. Sekolah Kebangsaan Long Sepiling pada tahun 2017 ada 10 orang murid sahaja dari tahun 1 sehingga la tahun 6. Kelas tahun 1,3,4 dan 6 ada la 2 orang dan kelas tahun 5 cuma ada seorang je budak. Bila aku cerita kat orang yang ada 10 orang budak ramai yang cakap macam ni;
"seronoknya, senang nak ajar..."
"mesti tak stress kan, budak tak ramai..."
"10 orang je, ko ajar apa? Dah macam tuisyen la"
Sorang je anak murid tahun 5, memang macam tusyen kan
Tak dinafikan, pada mulanya aku fikir senang nak ajar kalau budak tak ramai, tapi sebenarnya aku silap. Budak ramai ke, budak tak ramai ke, kerjaya guru ni tetap ada cabarannya. Macam-macam perangai budak-budak, ada yang nak perhatian, kadang-kadang budak ni kuat merajuk sebab dia nak kita pujuk dia, mungkin dia kurang kasih sayang.
Mungkin ada kawan-kawan yang mengajar di sekolah kurang murid boleh memahami keadaan aku sekarang. Tambahan pula tuntutan pendidikan zaman sekarang yang nak KBAT, PdPc, PAK21 dan macam-macam lagi, aku kalau boleh tak nak anak-anak murid aku ketinggalan walaupun ada seorang je anak murid dalam kelas.
CORETAN SEPANJANG 2 TAHUN DI BUMI KENYALANG.
Sepanjang 2 tahun ni banyak kenangan yang mewarnai perjalanan aku sebagai seorang guru. Sekolah ini terletak di pinggir Sungai Tinjar, Kampung Long Sepiling, Baram. Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid, jumlah keseluruhan murid sekolah ini hanya 9 orang sahaja. Latar belakang murid rata-ratanya terdiri daripada Orang Kayan dan Orang Iban. Aku tinggal di Kuaters yang terletak dalam kawasan sekolah.
Alhamdulillah walaupun terletak di kawasan pedalaman, bekalan elektrik di sini 24 jam. Bekalan air pula bergantung pada air hujan yang disimpan di dalam tangki. Line telefon tak jadi masalah, kalau nak bercakap tu kena la cari port yang cun. Line internet pakai internet sekolah, kalau pakai celcom dapat la 2G. Bagi aku aku sangat suka sekolah ni!
Elektrik pula bergantung pada dua buah generator yang sentiasa berkhidmat 24 jam. Bekalan air pula bergantung pada air hujan yang dikumpulkan dari bumbung dan disimpan di dalam tangki. Musim hujan syukur la ada bekalan air, tapi bila musim kemarau nak kena catu.
Minggu Pertama bertugas aku bergambar dengan semua murid SK Long Sepiling
Demam panas 3 hari, terpaksa tahan sebab tak ada kenderaan untuk ke hospital. Sebaik saja sampai ke hospital terpaksa masuk wad.
CUBAAN SEKOLAH KE PERTANDINGAN PERINGKAT KEBANGSAAN
Pusat Kreatif Kanak-kanak Tunku Bainun dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis. United Nation Children's Fund (UNICEF) dan DIGI dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan Real Kids Real Story dan Anugerah Young Change Makers 2015.
Penyertaan Sekolah Kebangsaan Long Sepiling (SKLS) adalah inisiatif Cikgu Fadhli dan SKLS berjaya tersenarai antara 10 calon ke peringkat akhir. Rezeki anak murid SKLS, Anilov Fabien Tingang (Tahun 5) dapat merasa naik kapal terbang ke Kuala Lumpur.
Walapun tak menang, tapi penyertaan SKLS telah membuka mata ramai pihak sehinggakan ada NGO yang datang melawat ke sekolah dan membawa banyak bantuan seperti pakaian kepada murid SKLS.
Februari 2016 kami menerima kunjungan NGO dari Kuala Lumpur dan mereka berkampung selama 3 hari 2 malam di SKLS. Program tersebut dinamakan sebagai "Syed Azmi & Friends with Anilov". Mereka datang ke SKLS setelah mendengar kisah hidup Anilov semasa Majlis Angerah Young Change Makers 2015.
Kat bawah ni aku share video aktiviti sepanjang Program "Syed Azmi & Friends with Anilov" berlansung. Rezeki anak murid kami, dapat baju sekolah baru, baju sukan, permainan dan bantuan-bantuan tersebut kami masih terima sehingga sekarang. Terima kasih ye. Penyertaan sekolah kami ke peringkat kebangsaan boleh diibaratkan "rezeki" buat anak murid kami.
PENGALAMAN BERTUGAS SEMASA PRN SARAWAK
Pada Mei 2015 aku terlibat dalam PRN Sarawak sebagai kerani pengundian. Aku ditugaskan di salah sebuat pusat mengundi di pedalaman Sarawak, Long Pillah. Untuk ke sana aku berpeluang menaiki helikopter. Memang tak sangka dapat naik helikopter. Tapi malam sebelum aku bertolak ke lokasi...
"KUCHING: Sebuah helikopter dalam penerbangan dari Betong ke sini dilaporkan hilang petang tadi. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, lapor Bernama. Astro Awani"
Negara digemparkan dengan berita yang menyedihkan. Hari berikutnya aku berlepas ke Long Pillah, alhamdulillah aku bersama 3 orang rakan lagi selamat sampai. Kami 4 orang ditugaskan di Long Pillah dan aku sorang je yang muslim.
Long Pillah ni majoriti orang Kayan. Aku tak melepaskan peluang untuk speaking dengan seorang guard sebaik saja tiba di Long Pillah. "Nun dengah?" (Apa Khabar?) aku menyapa dan bersalam dengan guard sekolah. Dia ingat aku orang Kayan, dah siap ajak aku pergi "minum" di rumah.
Budaya dan Hormat
Memandangkan aku sorang je muslim, tuan rumah amat memahami aku. Diorang sediakan makanan dari sayuran dan telur goreng. Benda yang paling aku suka makan "itun uvek" pucuk ubi yang ditumbuk lumat dan digoreng. Walaupun pucuk ubi dengan telur dadar je, aku cukup berselera.
Sampai sekarang ni aku cukup suka makan "itun uvek". Kalau ada masa rajin, aku petik pucuk ubi kat sekolah untuk masak "itun uvek".
Tak perlu risau, orang tempatan tahu dan hormat kepercayaan aku. Orang kampung datang ke RMT sekolah dan masak di sana. Diorang tahu peralatan memasak yang bercampur dengan benda tak halal tak boleh digunakan untuk masak bagi orang muslim makan.
Sebelum kami ke tempat bertugas,kami terpaksa beli barang makanan sebelum ke lokasi. KTM (Ketua Tempat Mengundi) tunggu untuk shopping barang dengan aku sebab nak pastikan barang yang dibeli betul-betul halal.Respect dengan diorang ni.
Aku sempat melawat ke salah sebuah rumah di Long Pillah bersama seorang penduduk kampung. Masa sampai di rumah Encik Lah, tetamu lain dihidangkan dengan arak dan Diorang tahu yang aku muslim "Nah cikgu, jemput minum" sambil tuan rumah, Encik Lah menghulurkan sekotak air teh hijau.
Orang kata "Jauh perjalanan luas pemandangan". Sementara bertugas di Sarawak, aku tak melepaskan peluang untuk ke Bario. Di sini aku berpeluang tinggal di rumah panjang dan mendekati kehidupan Etnik Kelabit.
Etnik Kelabit sangat meraikan tetamu, tetamu perlu diraikan kerana mereka menganggap tetamu membawa tuah dan rezeki. Kebetulan semasa kunjungan aku bersama-sama rakan, hujan turun membasahi bumi Bario.
Kami dipersembahkan dengan tarian Aran Kadang dan diiringi dengan lagu tutu udan na perah yang membawa maksud “turun hujan dengan lebat mencurah”. Selain itu tetamu juga dijemput untuk menari, wajib tak boleh nak lari. Teringat masa di rumah panjang Long Sepiling, habis berterabur nyivan atau tarian. Aku belajar menari dengan orang kampung, kali ni kalau orang suruh menari tak de la rasa nak lari.
Setiap tetamu akan dihidangkan dengan arak kata tuan rumah Whiskey. Apuuuu aku dah nampak ada seorang perempuan bawak dulang yang penuh dengan cawan berisi air, mungkin whiskey.
Aku berpura-pura mengambil gambar untuk mengelak dari kena minum Whiskey. Tapi ada seorang perempuan yang menunding jari ke arah aku "itu orang belum ambil lagi" Alamak! Kena ambik juga , ada yang menghidu bau air dalam cawan, bau macam air teh.
Air yang aku minum rasa macam teh o, memang air teh, ketawa ja tuan rumah. Dahulu ya, mereka menghidangkan whiskey tetapi sekarang mereka sendiri tidak minum dan apa tah lagi nak hidang kat tetamu yang memang tak boleh minum Whiskey.
Aku sering merantau jauh ke luar negara, menghargai budaya luar sedangkan ada cantiknya budaya pelbagai kaum dan etnik di Malaysia yang aku sendiri tak tahu.
Bergambar dengan penduduk Rumah Panjang Bario Asal. Cara duduk tu diorang cakap "Kelabit Style"
Cubaan saya untuk "Nyivan" tarian Orang Ulu. Sarawakian jangan marah ye kalau langkah saya sumbang.
Bergambar kenangan semasa di SK Long Teru. Murid membuat persembahan tarian Orang Ulu semasa Kem Motivasi UPSR.
BELAJAR BAHASA TEMPATAN
"Nun dengah?"
"Sayu"
"Hino ika te?"
Itu antara ucapan yang diucapkan dalam bahasa Kayan. Lain kan dari bahasa Melayu kita ni?Bahasa Kayan ni ada mirip Bahasa Melanau, tapi bila korang dengar bahasa Kayan ni, kebanyakkannya memang tak sama lansung dengan Bahasa Melayu.
Bahasa Iban pula ada mirip-mirip dengan Bahasa Melayu. Bila dah mula belajar tu, aku pun praktik la, kadang-kadang silap sebut, habis ketawa diorang... Suka budak-budak ni sampai siap bercakap Kayan lagi dengan aku.
Speaking Kayan dengan anak murid - Petang-petang habis sekolah mintak tolong anak murid pergi beli air 100 Plus, " tulung sigu tay bele' atak 100 Plus" Wah speaking gitu. Percaya la, kalau kita cuba bercakap bahasa tempatan dengan orang tua, diorang akan selesa dengan kita.
"di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung"
Speaking Iban dengan orang kampung - ada satu pak cik yang suka jual pisang di rumah cikgu-cikgu, kadang-kadang tu cuba nak speaking Iban, "kemaya nuan datai?" "Dini alai nuan?"
AKu pernah cuba nak cakap bahasa melayu Sarawak. Masa tu dari Kuching Sentral nak ke Kota Samarahan aku menggunakan perkhidmatan Uber. "Jauh ka dari sitok ke Samarahan" konon-konon speaking Bahasa Melayu Sarawak la...
"Kenak, kitak bergaut ka?" Soal driver Uber kat aku, hahaha "apa benda la bergaut ni?" Soal aku dalam hati. Aku pun tanya la kat driver uber, apa maksud "bergaut"? Baru aku tahu bergaut tu maksudnya tergesa-gesa.
Pernah jugak aku terperangkap dengan soalan. Dalam bahasa Melayu Sarawak, "siney?" tu maksudnya di mana? Aku biasa terperangkap dengan soalan ni "Kita dari siney?" bermaksud "kamu dari mana?" Tapi yang aku faham "kamu dari sini?" Dengan penuh yakin saya menjawab "saya bukan dari sini...."
Orang kata, nak pandai bahasa Jepun kena suka makan makanan Jepun, kalau suka bahasa Arab kena suka makan makanan Arab. Macam tu la kot kalau nak cepat belajar bahasa tempatan, kena la suka makanan tempatan. Kalau nak belajar bahasa Kayan, kena la suka makan makanan orang Kayan. Betul ke?
Saya ada kamus Bahasa Kayan dalam telefon. Kalau ada perkataan baru, cepat-cepat saya akan taip dan simpan dalam phone.
PENGALAMAN MENJADI PENGAWAS PEPERIKSAAN UPSR
Aku juga berkesempatan untuk menjadi pengawas peperiksaan di Long Jegan, salah sebuah sekolah yang terletak di pedalaman. Majoriti pelajar dari etnik Berawan. Perjalanan dari pekan lapok mengambil masa lebih kurang 3 jam dari Pekan Lapok. Aku sangat bernasib baik, sebab ada pengawas lain yang mengharungi perjalanan selama 12 jam untuk sampai ke sekolah.
Hari terakhir bertugas, ada pihak sekolah adakan jamuan. Malam tu memang special, kami dihidangkan dengan nasi minyak, daging masak kicap dan yang paling istimewa bagi aku ayam pansuh. Ayam pansuh ni hidangan special, ayam dimasak di dalam buluh, dan di hujung buluh tu di sumbat dengan pucuk ubi.
Ayam Pansuh Made in Long Jegan
Lepas makan-makan, ada la acara karaoke. Aduh, bab karaoke ni aku cukup lemah. Suara tak sedap dan aku tak ada bakat dalam bidang nyanyian. Kalau ada dah lama aku masuk gema gegar vaganza. Senyap-senyap aku cuba melarikan diri dari kena karaoke.
Usaha aku melarikan diri gagal... semua pintu keluar disekat,memang diorang nak kenakan aku. Hahaha.
Aku ditahan oleh guru besar. "Cikgu nyanyi la satu lagu, mau dengar orang semenanjung nyanyi". Agak keberatan, tapi aku tak sampai hati menolak. Dengan penuh yakin "ok la... ok... saya nyanyi..." Tanpa segan silu, aku nyanyi lagu yang agak famous di Sarawak.
"Bekikis Bulu Betis" lagu nyanyian Andrewson Ngalai.
Melawat ke Rumah Panjang Berawan di Long Jegan
ANAK MURID PEDALAMAN PUN BOLEH
SKLS menyertai pertandingan Video Pendek Kid Witness New anjuran Panasonic. Kami menghantar penyertaan dan akhirnya story board kami diterima. Aku selalu pesan kat murid yang menyertai pertandingan video ni "buat betul-betul buktikan yang kita boleh menang"
Kami menghasilkan video pendek yang bertajuk "The Power of Hands" bertemakan komunikasi. Dalam video ni ada babak lucu, sedih dan babak murid bergaduh. Yang sedih dengan bergaduh tu bukan senang nak buat. Kena shooting berulang kali.
Diorang budak sampai merajuk dengan aku sebab terpaksa ulang shooting. Fuh, bukan senang nak hasilkan video 5 minit. Aku pulak sampai demam nak siapkan video. Bila dah shooting audio pulak kurang memuaskan, terpaksa edit semula untuk sedapkan audio.
Segala penat lelah semuanya hilang, alhamdulillah SKLS menang. Kami menerima hadiah kategori Skip terbaik dan Grand Prize (Juara) untuk kategori sekolah rendah. Kami juga mewakili Malaysia untuk ke pertandingan peringkat antarabangsa. Doakan kejayaan kami ye!
"Mudah untuk menjadi juara, tetapi hakikatnya sukar untuk mengekalkan kejuaraan"
Semasa penggambaran. Penat.
Proses editing. Masa ni aku tengah ajar cara nak rekod dan masukkan audio.
Merasa lagi anak murid SKLS naik belon!
Dapat masuk ke cockpit lagi
Wajah-wajah gembira.Masa pengerusi majlis umumkan nama SKLS, diorang macam tak percaya "cikgu kita menang ka?" Siapa sangka anak pedalaman juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan murid di bandar.
PENGALAMAN NAIK PESAWAT KECIL
Terdapat banyak pengangkutan yang digunakan untuk menghubungkan antara kawasan pedalaman dengan kawasan pedalaman yang lain dan menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar. Antaranya dengan menggunakan pesawat kecil (Twin Otter).
Jika nak ke kawasan pedalaman seperti Bario, pejalanan mengambil masa lebih kurang 12-16 jam dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda tetapi dengan pesawat kecil ini perjalanan hanya mengambil masa selama 50 minit sahaja.
Pengalaman naik pesawat jenis ini memang lain dengan boeing.Sebelum naik, berat penumpang akan ditimbang bersama-sama beg. Pesawat ni ada 19 seat sahaja, nak masuk ke dalam pun tak boleh berdiri tegak sebab rendah. Kalau lalu kawasan berawan dia punya bergegar tu memang rasa macam nak lucut je jantung.
Sebelum naik pesawat, berat penumpang akan ditimbang bersama-sama beg yang dibawa.
Pesawat ini banyak berjasa kepada penduduk, terutamanya dari kawasan pedalaman.
Bergambar di dalam pesawat sebelum berlepas ke Bario
BANJIR
Tahun ni kami digemparkan dengan banjir teruk di kawasan ulu. Ada beberapa sekolah yang ditenggelami air. Sekolah aku terselamat, syukur alhamdulillah. Tapi kesan dari banjir, jalan rosak dan kereta tak dapat sampai ke kawasan sekolah.
Akibatnya, kami terpaksa meredah banjir, meranduk selama 1 jam untuk ke sekolah. Masa meranduk tu dalam kepada aku memang tak pikir tentang "cik ya", nak jalan cepat-cepat memang tak boleh, memang 100% tawakal dan mintak perlindungan dari Allah s.w.t.
Bergambar di jeti kampung Long Sepiling
Jeraya (Jalan) rosak, kereta tak dapat sampai ke kawasan sekolah.
Terpaksa Meredah Banjir. Masa ni tak fikir "cik ya" dan kalau boleh nak cepat-cepat sampai ke sekolah. Tu belum lalu kawasan yang dalam lagi.
Meredah banjir kira-kira hampir sejam untuk sampai ke sekolah.
Pernah pensyarah aku cerita dulu, dia pernah mengajar di Sarawak banyak pengalaman yang dia lalui dan pengalaman tersebut tak mungkin kita dapat di semenanjung. Kini aku melalui pengalaman yang sama, susah dan senang.
Kalau nak diceritakan disini pasti berjela-jela panjangnya. Hehe.Genset rosak, mandi pakai air hujan, rumah dimasuki ular, pengalaman kena kacau dengan makhluk halus dan macam-macam yang aku lalui di sini. Bila aku posting ke semenanjung nanti pasti aku akan merindui kehidupan aku di pedalaman sekarang.
Siapa yang ada pengalaman mengajar di Sarawak atau Sabah, pasti akan melalui pengalaman yang mungkin tak ada di semenanjung. Segala coretan kisah hidup aku di Sarawak bukanlah sesuatu yang hendak aku banggakan tetapi ia satu kenangan yang aku tak akan lupa sampai bila-bila.
Dipetik Dari Blog Cikgu Saffuan
saya hormat org yg dpt menyesuaikan diri berkerja di mana2 tempat bertugas. kita berkerja ibarat sebuah pokok kayu. Semua bahagian pokok tu memainkan pranan penting. klau pokok ada akar saja tanpa daun nya tak akan membolehkan ianya membesar. Klau kita semua bertugas d bandar aja, xda yg mau pegi ke pendalaman, Negara ini xakan jdi maju. Sbagai rakyat M'sia, kta harus bersedia BERKHIMAT di mana2.
ReplyDeleteterbaik
ReplyDeleteRespekkk!!! Terima kasih cikgu... nmok keikjlasan cikgu mengajar anak tempatan di situ.. untung dpt cikgu mcm ktk di sia
ReplyDeleteTerbaekkkk... inilah SARAWAK..
ReplyDeleteSTATE LIKE NO OTHERS