KUCHING: Sarawak perlu rasional dalam rundingan mendapatkan 20 peratus royalti minyak dan gas dengan meningkatkan penglibatan aktiviti hiliran sebagai langkah sementara.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata sementara menunggu rundingan antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Petronas berlangsung, Sarawak juga perlu memikirkan tentang alternatif lain.
“Kita perlu rasional (dalam rundingan) jika mereka (Petronas) belum mampu memberi (apa yang diminta), buat masa ini kita ada pilihan lain termasuk meningkatkan penyertaan kita dalam industri hiliran dan proses cari gali.
“Petronas membantu kita dengan melibatkan rakyat Sarawak dalam industri minyak dan gas meskipun mereka belum membuat sebarang keputusan mengenai permintaan 20 peratus royalti minyak dan gas iaitu langkah sementara (in lieu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Mazlan Mansor di sini, semalam.
Sehubungan itu kata Abang Johari, Sarawak mempunyai kilang metanol di Bintulu yang merupakan inisiatif meningkatkan penyertaan industri hiliran berasaskan petroleum termasuk menjadikan Bintulu sebagai hab petrokimia.
“Itulah secara prinsipnya rundingan yang sedang berlangsung sekarang. Konsepnya masih sama, malah impaknya mungkin jauh lebih baik atau banyak daripada royalti yang kita tuntut,” tegasnya.
Abang Johari berkata, pihaknya juga memantau perkembangan harga minyak dunia bagi mendukung proses rundingan berkenaan.
“Kita juga perlu memahami situasi dialami Petronas. Jika kita mahu menaikkan kadar royalti kepada 20 peratus, Petronas juga perlu adil pada kerajaan pusat untuk memberikan kadar sama, selain cukai berkaitan.
“Petronas tidak boleh beroperasi dengan kos yang tinggi. Ini tentunya boleh menjejaskan mereka,” katanya.
Mengenai isu Petronas mahu menjual saham projek gas huluan luar pesisir SK316 di Sarawak, Abang Johari menegaskan ia adalah perkara lain dan melibatkan kos yang sangat tinggi di mana Sarawak mungkin tidak dapat mencapai kos berkenaan.
“Kita ada kepentingan bersama dan dari segi rundingan kita berharap jangan terlalu emosi,” katanya.
Sementara itu sebelum ini Petronas didakwa merancang menjual sehingga 49 peratus kepentingan dalam blok gas luar pesisir SK316 di Sarawak dalam usahanya menjana tunai dan mengurangkan kos pembangunan. -Utusan Borneo Online
Comments
Post a Comment