KUCHING: Polis Sarawak terus menggempur aktiviti perjudian haram di negeri ini tanpa henti dari semasa ke semasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, pihaknya kini tidak akan berhenti membanteras aktiviti tersebut.
Menurutnya, sepanjang tempoh dari 17 hingga 23 April lalu, pihaknya telah menahan seramai 37 individu terdiri daripada 26 lelaki dan 11 wanita dalam 26 serbuan di seluruh negeri ini.
Ia merangkumi empat serbuan di Kuching, lapan di Padawan, empat di Miri, masing-masing dua di Sri Aman dan Betong manakala masing-masing satu di Kota Samarahan, Bintulu, Limbang, Julau dan Sarikei.
Jelasnya, seramai 28 individu ditahan dalam 24 serbuan kerana terlibat dalam loteri haram (4D) dan merampas wang tunai sebanyak RM3,346, mesin cetak mudah alih, alat tulis, kalkulator serta beberapa unit telefon bimbit.
“Selain itu, pihak polis telah memusnahkan gelanggang sabung ayam dalam beberapa serbuan yang dijalankan di Miri dan membawa kepada penahanan tujuh individu selain rampasan pelbagai barang digunakan untuk judi sabung ayam.” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini semalam.
Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 64 tahun termasuk tiga warga asing akan disiasat atas kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan 1962.-Sarawakiana
Comments
Post a Comment