Polis Tangkap Lelaki Lesapkan Wang Tunai RM500 Ribu

Bintulu: Seorang lelaki yang juga merupakan suspek utama kes kehilangan wang tunai RM500 ribu ditangkap polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BJSK) Daerah Bintulu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superitendan Zailanni Amit memberitahu lelaki itu ditangkap jam 2.15 pagi tadi ketika sedang berada di Terminal Bas Bintulu.

"Penangkapan lelaki terbabit susulan satu laporan kehilangan wang tunai RM500 ribu milik dua bank tempatan yang dalam simpanan bilik kebal syarikat kawalan keselamatan cawangan Bintulu pada 11 April lalu" katanya di Bintulu hari ini.

Menurut Zailanni, sebelum tangkapan ke atas lelaki berkenaan, polis telah menahan lima suspek lain iaitu empat lelaki dan seorang wanita untuk disoal siasat serta diambil keterangan mereka bagi membantu siasatan polis berhubung kehilangan wang tunai tersebut. 

Lelaki itu yang juga pakar sistem kamera litar tertutup di syarikat kawalan keselamatan telah melakukan pemeriksaan ke atas sistem kamera litar tertutup di bilik kebal. Kebetulan ketika kejadian berlaku gangguan bekalan letrik di bahagian bilik kebal.  

Suspek mengakui melesapkan wang tunai sejumlah RM500 ribu ketika disoal siasat polis.

Dia kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Comments