Rumah Panjang 14 Pintu Musnah Dijilat Api Di Betong

BETONG: Sebuah rumah panjang di Jalan Lidong, Kampung Nyelutong di sini musnah dalam satu kebakaran petang semalam.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima maklumat menerusi panggilan terus ke balai pada jam 1.59 petang.

“Sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong kemudian dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan dua jentera dan ambulans EMRS.

“Ketika tiba di lokasi 10 minit kemudian, pasukan mendapati kebakaran telah memusnahkan 11 daripada 14 pintu rumah di situ, selain stor.

Sejurus tiba katanya, pasukan dari jentera pertama telah bertindak membentangkan dua aliran, satu cabang pembahagi dan 3 pancutan sejauh 500 kaki.

“Pasukan daripada jentera kedua pula bertindak membentangkan dua aliran dan dua pancutan sejauh 500 kaki menggunakan sumber air terbuka bagi menentang kebakaran tersebut.

“Siasatan awal kita mendapati tiada sebarang mangsa yang terlibat,” katanya lagi.

Pasukan kemudian melakukan kerja-kerja penyejukan selepas menyelamatkan tiga pintu berbaki.

Punca kejadian masih disiasat oleh pasukan forensik kebakaran, katanya lagi. – Sarawakvoice

Comments