Salahkah Penggunaan Visor Gelap Pada Topi Keledar


Jika anda tidak pernah langsung menunggang motosikal untuk urusan harian, mungkin agak sukar untuk anda memahami hal atau isu-isu berkaitan mereka yang menunggang motosikal di jalan raya. Misalnya, ketika perlu mendepani sikap segelintir pemandu, yang ada ketikanya seperti langsung tidak pernah menghiraukan kehadiran penunggang motosikal disekitar mereka.

Ini, bagaimanapun, bukanlah bermakna penunggang motosikal sentiasa bersikap munasabah ketika di atas jalan raya – ramai juga yang bersikap sambil lewa. Kemudian, hadir pula faktor cuaca yang tidak menentu, panas dan hujan, yang sudah pasti akan mempengaruhi cara dan tindak balas tunggangan. Ini belum lagi mengambil kira keadaan permukaan jalan serta laluan khas motosikal, yang sehingga kini masih terus-menerus menjadi perbualan ramai.

Peraturan-peraturan yang ada berkaitan hal-hal yang dinyatakan di atas, walaupun tujuannya adalah untuk mengutamakan keselamatan semua pengguna jalan raya, tetap ada sebahagian penunggang yang melihatnya sebagai satu kekangan yang tidak selari dengan keperluan semasa. Sebagai contoh, yang ingin kami utarakan di sini ialah penggunaan visor gelap pada topi keledar atau helmet.

Penghadang muka pada helmet atau visor tidak hanya berfungsi untuk melindungi penglihatan atau mata penunggang daripada dimasuki habuk, serta serpihan-serpihan lain dari atas jalan yang mungkin akan terpelanting dan terkena mata – jika ini berlaku, ia akan meletakkan penunggang dalam situasi yang sangat merbahaya.

Dalam cuaca panas seperti di Malaysia ini pula, ramai juga penunggang yang menggunakan visor gelap untuk menghalang kesilauan pada mata. Ini boleh difahami dengan mudah, dan kelihatan tindakan itu juga sangat logik bagi mereka yang menunggang, terutama ketika siang hari yang panas terik. Ramai yang berpendapat bahawa perkara ini tidak menjadi masalah.

Namun, mungkin anda pernah mendengar sebelum ini tentang penggunaan visor gelap pada helmet sebenarnya salah di sisi undang-undang. Adakah perkara ini benar atau sekadar salah faham yang kemudiannya menjadi viral di media sosial?


Bagi mengelakkan sebarang keraguan, kami minta penjelasan daripada Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib untuk mengetahui duduk letak perkara sebenar berkaitan penggunaan visor gelap.

“Di atas kertas, visor pada mana-mana jenis helmet wajib mempunyai kejelasan penglihatan 100%. Maksudnya, sebarang visor yang gelap daripada itu adalah dilarang penggunaannya,” ujar beliau, sambil menunjuk ke arah sebuah helmet yang digunakannya sendiri – helmet saiz penuh dengan visor biasa yang 100% lutsinar ketika kami perkunjung ke pejabatnya tempoh hari.

Tetapi, atas sebab apa penggunaannya tidak dibolehkan? Bukankah visor gelap (dalam konteks tunggangan pada siang hari) lebih selamat kerana penunggang boleh menumpukan perhatian dengan keadaan mata yang lebih selesa dan redup untuk memerhatikan lalu lintas dan persekitaran dengan lebih baik?

“Tujuannya adalah untuk menampakkan wajah penunggang di sebalik helmet itu. Lebih utama, jika mata penunggang juga dapat dilihat. Sebab apa? Ini adalah untuk membolehkan penunggang membuat eye contact dengan pengguna jalan raya yang lain, terutama dengan pemandu kereta.

“Ini sangat berkesan terhadap apa saja yang ingin penunggang lakukan, misalnya ketika ingin keluar dari persimpangan; pandang tepat ke arah pemandu lain, serta gunakan isyarat tangan sebelum anda melintas atau mula bergerak. Cara ini adalah jauh lebih berkesan dan selamat, kerana sudah ada contact atau makluman awal di antara mereka,” tambah beliau.

Ini bukanlah bertujuan untuk mengelak kejadian atau perlakuan jenayah dalam kalangan penunggang, walaupun itu mungkin menjadi sebahagian kerisauan pengguna jalan yang lain ketika menilai penggunaan visor gelap ini. Ia dijadikan peraturan dengan matlamat untuk menjamin keselamatan penunggang itu sendiri dalam suasana lalu lintas yang tak menentu. Perkara selebihnya yang muncul selepas itu adalah hal-hal sampingan dan terpencil.


Ketika dimaklumkan tentang perkara ini, ia sebenarnya masuk akal juga. Saya kemudiannya membandingkan pengalaman sendiri berkayuh basikal di atas jalan raya terbuka, dengan kehadiran banyak kenderaan lain yang lebih laju.

Pendekatan untuk memandang wajah pemandu atau penunggang motosikal, dan dalam masa yang sama memberi kesempatan kepada mereka untuk mengambil maklum kehadiran serta tindakan yang akan anda ambil sejurus selepas itu ketika sedang berbasikal menjadikan satu-satu situasi itu selamat untuk semua.

Pandangan terus ke mata mereka yang mengawal stereng, diikuti isyarat tangan untuk memaklumi mereka, sebagai contoh ketika anda sedang ingin menukar lorong dan menyeberang ke laluan lain, akan membuatkan pengguna jalan raya lain sedar akan tindakan anda, dan kemudian akan memberi ruang sebaiknya untuk anda berbuat demikian. Secara peribadi, saya boleh faham sudut pandangan dari mana datangnya penetapan dan matlamat peraturan ini. Anda pula bagaimana?

Kemudian, kita panjangkan pula kepada contoh ketika menunggang di malam hari dengan visor gelap. Ia akan menyebabkan pandangan penunggang terhad, kerana suasana di luar sememangnya sudah gelap. Ini akan membuatkan penunggang terpaksa juga menolak visor ke atas agar tidak menghalang penglihatan – dan mata akan terdedah juga kepada habuk dan lain-lain perkara.


Ada juga argumen yang menyatakan, dengan visor lutsinar yang cerah, penunggang perlu menggunakan cermin mata hitam di dalam ketika di siang hari. Ini juga akan menjadikan matlamat asal untuk mengadakan eye contact tadi tidak bermakna – tambahan pula jika penunggang menggunakan helmet penuh (full face). Juga, sekiranya berlaku kemalangan, kemungkinan cermin mata hitam itu pecah dan menyebabkan kecederaan pada mata dan itu sangat bahaya.

Tentang hal yang pertama, saya perpendapat, dalam apa pun situasi di atas jalan raya yang biasanya penuh curiga kini, untuk kita dapat melihat sedikit bahagian wajah penunggang motosikal akan menerbitkan rasa yang lebih menyenangkan berbanding sekiranya kita langsung tidak dapat melihat menembusi visor yang digunakan.

Dan untuk hal yang kedua, sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan di bahagian muka tetap saja ada kemungkinan untuk berlaku, dan visor yang digunakan boleh saja pecah dan serpihannya sama juga membahayakan seperti cermin mata. Apa yang boleh kita buat untuk mengelak keadaan ini daripada berlaku? Jadilah pengguna jalan raya yang berhemat.


Walaupun penggunaan visor gelap ini salah di sisi peraturan jalan raya, sepanjang pengetahuan kami, JPJ tidak pula pernah mengadakan operasi khas semata-mata untuk memburu penunggang dengan visor gelap. Cuma, anda perlu tahu, sekiranya nasib tidak menyebelahi dan anda ditahan di atas sebab berkenaan, undang-undang rasmi tidak menyebelahi anda. Yang tersisa ketika itu hanyalah budi bicara di antara anda dan pegawai penguatkuasa itu sahaja.

Apa pula pandangan anda tentang perkara ini? Ikuti juga liputan yang kami lakukan terhadap isu-isu lain berkaitan jalan raya sebelum ini, seperti pertukaran lampu biasa ke HID bagi kenderaan, tayar kangkang serta penggunaan pelekat body-wrap. - Paultan

Comments

  1. cubalah guna motosikal hari2 dan bertahun2..turun kerja,hantar dan ambil anak sekolah,hantar surat,buat urusan bank..dalam keadaan cuaca panas,apa??visor tak boleh di angkat bagi tujuan keselamatan atau sekiranya nak buat eye contact??Hon tu untuk apa...jual surat khabar??

    ReplyDelete

Post a Comment