SIBU: Baki sayap ayam yang ditimbus di Jalan Quarry berhampiran Bukit Aup digali semula dan dilupuskan di tapak pelupusan sampah di Kemuyang, pagi ini.
Arahan itu telah dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas sebab-sebab keselamatan dan juga kesihatan.
Semalam beberapa orang anggota dan pegawai jabatan itu bersama veterinar turut mengunjungi lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar.
Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo ke lokasi hari ini mendapati kerja-kerja menggali semula baki sayap ayam yang ditimbus pada Jumaat lalu bermula seawal jam 7 pagi.
Beberapa anggota polis yang berkawal dikawasan itu sejak Selasa lalu turut berada di lokasi. Didapati kerja-kerja menggali sayap ayam berkenaan agak sedikit terganggu rentetan daripada bau busuk apabila sayap ayam mula reput.
Pemandu jengkaut walaupun menutup hidungnya menggunakan tuala dilihat beberapa kali berhenti menggali kerana tidak tahan dengan bau busuk.
Lori-lori yang ditugaskan mengangkut baki sayap terbabit juga turut diarahkan ditutup rapi bagi mengelakkan berlakunya keciciran sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain. -Utusan Borneo Online
Comments
Post a Comment