Sesi Minum Bertumpah Darah

SIBU: Sesi minum anak dan ayah berakhir dengan tumpahan darah sehingga si anak mengalami kecederaan serius dan terlantar di hospital.

Insiden berlaku pada jam 5.30 pagi semalam di sebuah rumah panjang di Selangau, kira-kira 80 minit perjalanan dari sini.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, lelaki berumur 30 tahuntersebut pada mulanya mengambil penyapu untuk memukul sebelum mendapatkan sebilah parang dan bertindak menyerang ayahnya.

Namun, si ayah yang berumur 61 tahun berjaya merampas parang tersebut daripada tangan anaknya sebelum pergaduhan antara mereka menjadi tidak terkawal.

Katanya, pergaduhan itu berakhir dengan si anak mengalami luka dipercayai akibat libasan parang di kedua-dua belah tangan dan kaki serta leher.

“Si ayah juga cedera di kepala dan badan,”  kata Jimmy. Mangsa kemudian digegaskan ke Klinik Kesihatan Selangau sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut pada jam 10.30 pagi.

Menurut Jimmy, mangsa dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika menyerang ayahnya.

Katanya, polis telah bertindak menangkap ayah mangsa untuk membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya,” tambahnya. - Utusan Borneo Online

Comments