KUCHING: Sarawak masih memiliki kira-kira 12 trilion kaki padu (tcf) simpanan gas yang ditemui di blok SK316 di luar pantai Miri, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional (PETRONAS) Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
"Bagaimanapun, jumlah simpanan itu kita simpulkan sebagai 2P iaitu yang terbukti dan yang berkemungkinan.
Berapa lama simpanan itu mampu bertahan, juga bergantung kepada cara pengeluaran," katanya yang enggan mengulas lanjut. Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PETRONAS dengan Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) di sini, hari ini.
MoU itu dimeterai bagi menjalin kerjasama antara PETRONAS dan YHBS untuk memulakan operasi loji industri petrokimia di Tanjung Kudurong, Bintulu.
PETRONAS diwakili Naib Presiden (Pengurusan Petroleum Malaysia), Muhammad Zamri Jusoh manakala YHBS diwakili Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Husain, sambil disaksikan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.
Menerusi perjanjian itu, PETRONAS akan membekalkan gas untuk diproses di Loji Metanol YHBS dan memasarkan produk dari loji berkenaan.
Loji metanol bernilai AS$850 juta itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2021 dan menjadi loji petrokimia pertama dimiliki oleh syarikat tempatan Sarawak.
Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan terus menjadikan PETRONAS sebagai rakan strategik bagi membangunkan industri minyak dan gas di negeri ini. Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan melabur dalam sesuatu projek minyak dan gas yang berisiko.
"Kita tidak akan melabur wang rakyat dalam projek yang tidak menguntungkan dan dalam hal ini, kita memerlukan pengesahan PETRONAS.
"Jika PETRONAS mengesahkan projek itu mampu memberi pulangan, kita akan menjalin kerjasama dengan syarikat nasional itu," katanya.-BHarian
Comments
Post a Comment