Suspek Rogol Bawah Umur Dalam Kilang Bata Di Sibu Direman 7 Hari

SIBU: Seorang lelaki ditahan pasukan polis D7 IPD Sibu di Julau petang kelmarin direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Suspek berumur 31 tahun terbabit  ditangkap di sebuah rumah panjang di Julau pada jam 3 petang kelmarin.

Tanda gigitan kemerahan atau ‘love bite’ di bahagian leher mangsa menimbulkan perasaan curiga ibunya pada petang Isnin lepas.

Terkejut pengakuan mangsa, suri rumah berumur 36 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Sibu Jaya pada jam 1 petang itu.

Menurut polis, suspek dipercayai melarikan diri dan bersembunyi beberapa hari selepas kejadian akhirnya pulang ke rumahnya sehingga membawa kepada penangkapannya.

Siasatan polis mendapati suspek melakukan hubungan seks dengan mangsa di sebuah kilang bata dekat sini sehari sebelum kes dilaporkan.

Difahamkan, suspek mengaku mengambil kesempatan ke atas mangsa dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Perintah reman tujuh hari sehingga Khamis depan diluluskan oleh mahkamah di sini pagi semalam.Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol. -Utusan Borneo Online

Comments